Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 27m ago ]

Berita AM


Bekas CEO 1MDB curiga terhadap Jho Low apabila kes 1MDB meletus

Tarikh kemaskini: 07/10/2019
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi
KUALA LUMPUR, 7 Okt -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau mulai menaruh curiga terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, selepas pihak berkuasa mula menyiasat kes 1MDB pada tahun 2015.

Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1MDB, Shahrol Azral, 49, berkata beliau menjadi curiga dengan Jho Low ketika beliau mula ditunjukkan tentang aliran wang semasa penyataannya direkodkan.

"Saya tidak ingat sama ada ia ditunjukkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis ... mungkin pada penghujung tahun ini (2015)," katanya ketika disoal balas oleh peguam Najb, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-17 perbicaraan Najib, yang didakwa dengan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Saksi pendakwaan kesembilan itu menggambarkan Jho Low sebagai seorang yang agak lambat namun boleh bercakap dengan baik dan faham serta dapat melakukan sesuatu dengan cepat.

"Beliau (Jho Low) mengutarakan sesuatu perkara dengan baik dan kualiti perbincangan adalah tepat kerana dia dapat memahami dengan cepat," katanya ketika ditanya oleh Muhammad Shafee mengenai perwatakan Jho Low.

Menjelaskan mengenai hubungan pertamanya dengan Jho Low pada tahun 2007, saksi itu berkata bahawa beliau menerima SMS dari Jho Low mengatakan bahawa dia (Jho Low) mahu melakukan sesuatu dengan syarikatnya, UBG (Utama Banking Group).

"Sebagai pengarah urusan UBG, dia meminta saya untuk singgah di pejabatnya untuk berbincang. Dia mendapat nombor saya daripada kawan saya , iaitu rakan sebilik saya di Standford University, Azran.

Pada 23 Sept, Shahrol Azral memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau bertemu Jho Low sekitar tahun 2007, ketika bekerja sebagai penganalisis di firma perunding Andersen Consulting, yang kemudian dikenali sebagai Accenture.

Ditanya oleh Muhammad Shafee mengapa Jho Low memilihnya sebagai perunding bagi syarikatnya, saksi berkata Jho Low menyandarkannya sebagai seorang yang bukan 'penyibuk'.

Ditanya oleh Muhammad Shafee bahawa Jho Low menyukai perwatakan saksi yang hanya menerima arahan tanpa mengetahui perjalanan yang muktamad, Shahrol Azral menjawab,” Tidak juga.

Saya hanya mendapatkan maklumat yang cukup dan perlu untuk menyampaikan hasil seperti yang saya fahami. Apa sahaja yang selain untuk penyampaian tidak relevan terhadap tugas yang dijalankan, saya percaya ada orang lain akan melakukannya.

Menjawab soalan lain Shahrol Azral berkata beliau dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia berhubung sisatan 1MDB.

"Saya membuat tanggapan ini kerana saya adalah sebahagian daripada kumpulan orang yang termasuk bekas pengarah 1MBD dan pengurusan kanan yang dilarang melakukan perjalanan," katanya sambil menambah bahawa larangan perjalanan itu adalah untuk menghalang orang yang mempunyai maklumat mengenai kes itu menghilangkan diri.

Muhammad Shafee: Mereka (pihak berkuasa) hendak menyekat anda daripada menghilangkan diri.

Shahrol Azral: Ya

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu