KBS bakal salur dana khas kepada Hafizh Syahrin [ 8m ago ]

Berita AM


Mesyuarat kabinet bangkitkan kebimbangan aduan Sultan Mizan berhubung bon RM5 bilion

Tarikh kemaskini: 09/10/2019
KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Kabinet dalam mesyuaratnya telah membangkitkan kebimbangan mengenai aduan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin berhubung terbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion oleh Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu perkara ini pada hari ke-19 perbicaraan bekas perdana menteri itu yang menghadapi pertuduhan berhubung dana 1MDB.

Muhammad Shafee merujuk minit mesyuarat jemaah menteri pada Jun 2009 kepada bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang merupakan saksi kesembilan pendakwaan.

Beliau berkata mesyuarat itu dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana Najib ketika itu berada di Korea untuk lawatan rasmi.

Ketika membacakan dengan kuat di mahkamah petikan daripada titah ucapan Sultan yang menzahirkan kebimbangan, Muhammad Shafee berkata "Tan Sri Muhyiddin telah menghadap Sultan pada pagi Rabu pada 3 Jun 2009 berhubung kebimbangan baginda mengenai penerbitan bon oleh TIA".

“Bahawa Islamic Medium Term Notes (IMTN) tersebut tidak sepatutnya diluluskan oleh TIA memandangkan masih banyak isu dan perkara berhubung TIA yang belum dimuktamadkan.

"Antaranya isu di peringkat negeri Terengganu sendiri misalnya berhubung dana TIA yang akan diperoleh daripada royalti minyak. Jawatankuasa Selian Khas...belum dimuktamadkan dan Yayasan TIA belum ditubuhkan," katanya.

Muhammad Shafee menambah, Yang di-Pertuan Agong juga bimbang bahawa terbitan IMTN bermakna dana TIA diperoleh melalui pinjaman oleh kerajaan Terengganu kerana TIA adalah sebuah syarikat di bawah Menteri Besar Diperbadankan (Terengganu).

Beliau berkata Sultan juga menitahkan: "Ini adalah tidak selaras dengan penubuhan TIA. Asas penubuhan TIA adalah Kerajaan Persekutuan akan menyediakan dana permulaan TIA menggunakan wang royalti minyak yang perlu dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

"Justeru tidak sepatutnya wujud elemen liabiliti bagi pihak TIA dalam mendapat dana tersebut," katanya.

Muhammad Shafee berkata timbul juga isu Sultan tidak mahu berkompromi dengan jumlah royalti yang diterima sebagai asas dana di pihak mereka.

Beliau berkata minit menyatakan bahawa, "Bahawa tujuan asal penubuhan TIA untuk membolehkan Kerajaan Negeri Terengganu menguruskan royalti minyak untuk melaksanakan pembangunan negeri Terengganu".

Selepas Muhamad Shafee selesai membaca kandungan minit mesyuarat, Shahrol Azral berkata "Ya"

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu