Wilmar antara cemerlang di peringkat global dalam perjuang hak kanak-kanak [ 1m ago ]

Berita AM


Najib seperti maharaja 1MDB - Saksi

Tarikh kemaskini: 17/10/2019
KUALA LUMPUR, 17 Okt -- Datuk Seri Najib Tun Razak diletakkan sebagai ‘Maharaja 1MDB’ kerana bekas perdana menteri itu mempunyai kuasa mutlak dalam syarikat itu, demikian Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, hari ini.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halm, berkata walaupun 1MDB terikat dengan terma Akta Syarikat tetapi secara realiti Najib mempunyai kuasa penuh dan bebas mengurus hal ehwal syarikat pelaburan strategik itu.

Saksi pendakwaan kesembilan itu bersetuju dengan soalan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sama ada beliau cuba mengatakan bahawa Najib adalah seperti 'Maharaja 1MDB'.

Sebelum itu, peguam itu menjelaskan kepada Sharol Azral, 49, bahawa mengikut Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) 1MDB, sesetengah perkara tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran bertulis Perdana Menteri tetapi keputusan masih terletak di tangan Ahli Lembaga Pengarah (BOD).

Beliau menyebut beberapa contoh daripada pengambilan dan penamatan khidmat pengurusan kanan dan pengarah dan sebarang perubahan kepada M&A serta sebarang komitmen kewangan oleh syarikat tidak boleh dilakukan tanpa kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri.

Muhammad Shafee, bagaimanapun, menegaskan bahawa saksi itu telah silap dalam tafsiran mengenai M&A.

Muhammad Shafee: Saya mencadangkan kepada kamu, peruntukan (Artikel 117) ini hampir seperti kuasa veto untuk Perdana Menteri menolak sebarang keputusan yang wajar untuk syarikat.

Shahrol Azral: Memang begitu secara hitam putih tetapi secara amalan, ia tidak terjadi seperti iitu. Misalnya, transaksi PetroSaudi International Ltd, sekiranya ia telah terburu-buru, adakah kita melakukan transaksi Tidak.

Adakah kita pada kepantasan itu menyertai bon IPIC (International Petroleum Investment Corp) Tidak. Dalam bekerja secara rapat dengan Perdana Menteri, kita perlu mengikut permintaannya.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada kamu, ia adalah interpretasi yang salah. Kamu menjadikan Perdana Menteri seperti Maharaja 1MDB, seolah-olah tidak ada semak dan imbang.

Shahrol Azral: Pada Fasa 1, 2 dan 3 (pernyataan saksi). Saya boleh katakan ‘ya’

Muhammad Shafee: Jadi dia (Najib) memang Maharaja dalam 1MDB.

Shahrol Azral, bagaimanapun, berkata, sebagai pengarah, mereka berkewajipan untuk melaksanakan permintaan Najib.
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi

”Jadi itulah yang berlaku. Sama ada ia mematuhi peraturan, adalah adil anda bangkitkan (mengenai peruntukan Artikel 117) tetapi inilah yang berlaku.

“Dari 2009 hingga 2013 ketika saya keluar sebagai CEO, saya terus melihat Datuk Seri Najib sebagai pemilik kuasa mutlak dalam 1MDB,” kata Sharol Azral.

Bagaimanapun, saksi itu enggan komen soalan peguam sama ada beliau bersetuju bahawa BOD perlu membuat keputusan terlebih dahulu dan bagaimana kedudukan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB berinteraksi dengan BOD.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

-- BERNAMA








        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu