Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 29m ago ]

Berita AM


Skandal 1MDB: Pendengaran lucut harta BN Bahagian Johor Bahru 5 Feb 2020

Tarikh kemaskini: 18/10/2019
KUALA LUMPUR, 18 Okt -- Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 5 Feb depan bagi mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak ke atas wang berjumlah RM677,872.55 yang disita daripada Barisan Nasional (BN) Bahagian Johor Bahru.

Wang tersebut yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Allan Suman Pillai dan peguam Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili BN Bahagian Johor Bahru.

Hakim Mohd Nazlan memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujah bertulis pada atau sebelum 28 Jan depan.

Pada 27 Sept lepas, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk memasukkan nama pemegang jawatan Barisan Nasional (BN) Bahagian Johor Bahru dalam notis melucut hak harta cawangan parti politik itu berjumlah RM677,872.55.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

-- BERNAMA
























        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu