Polis kesan 180 individu bantu siasatan kes jenayah komersial [ 55s ago ]

Berita AM


1MDB bodoh bayar US$1 bilion bagi usahasama 1MDB-PSI - saksi

Tarikh kemaskini: 24/10/2019
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi
KUALA LUMPUR, 24 Okt -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah bodoh membayar US$1 bilion untuk memperoleh 40 peratus pegangan ekuiti dalam usahasama (JV) 1MDB dan Petro Saudi Holdings (Cayman) Ltd manakala PetroSaudi International Ltd (PSI) hanya menyuntik US$108 juta untuk mendapatkan 60 peratus syer.

PSI Cayman adalah anak syarikat PSI.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata nilai aset yang bertujuan untuk mengimbangi nilai JV didedahkan dalam laporan penilaian oleh ahli ekonomi tenaga Amerika, laporan penilaian Edward L. Morse serta pendapat undang-undang daripada pasukan perundangan 1MDB pasukan, Brian Chia dari Wong & Partners yang dibentangkan pada mesyuarat lembaga 1MDB pada 10 Oktober 2009.

Aset minyak dan gas yang dikatakan milik PSI terletak di Argentina dan Turkmenistan, dinilai oleh firma Morse pada harga US$3.625 bilion.

Ketika ditanya oleh peguam utama yang mewakili Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Shahrol Azral berkata beliau menandatangani surat perjanjian berhubung JV bagi pihak 1MDB tetapi tidak ingat siapakah yang menandatangani bagi pihak PSI.

Muhammad Shafee: Penanda aras aset Argentina adalah pada US$108,109,651. Adakah anda ingat nilai untuk aset Turkmenistan

Shahrol Azral: US$3.518 bilion.

Muhammad Shafee: Jadi US$3.5 bilion, nilai aset di Argentina hanya US$108 juta.

Shahrol Azral: Ya.

Muhammad Shafee: Anda tahu aset Turkmenistan kemudian terbukti bukan milik PSI

Shahrol Azral: Saya tidak ingat.

Muhammad Shafee kemudian merujuk satu laporan media kepada saksi tersebut yang menyatakan bahawa aset di Turkmenistan dimiliki oleh Buried Hill Energy (Cyprus) Co Ltd.

Menurut beliau, penerbitan itu telah memperoleh hak untuk semua dokumen yang dicuri daripada syarikat (PSI) oleh bekas eksekutif PSI Xavier Andre Justo sebelum dia melarikan diri ke Bangkok, Thailand.

Muhammad Shafee: Anda setuju dengan saya, jika aset Turkmenistan, bukan aset PSI, 1MDB perlu menyuntik hanya US$108 juta untuk memadankannya dengan aset Argentina.

Shahrol Azral: Betul.

Muhammad Shafee: Menarik, kerana kita kelihatan seperti orang bodoh. 1MDB kelihatan bodoh. 1MDB, seperti orang bodoh, menyuntik US$1 bilion untuk 40 peratus. Mereka (PSI) hanya memasukkan US$108 juta dan memperoleh 60 peratus.

Shahrlol Azral: Betul.

Terdahulu, Shahrol Azral bersetuju dengan cadangan oleh peguam bahawa dia tidak memaklumkan kepada lembaga pengarah 1MDB apabila mengetahui tentang pemilikan sebenar aset PSI Turkmenistan itu.

Muhammad Shafee: Pada suatu ketika, lama dahulu, anda mendapati bahawa ia bukan aset mereka.

Shahrol Azral: Bukan lama dahulu, ia pada tahun 2015 ... Saya masih berada dalam Lembaga itu.

Muhammad Shafee: Apabila anda mengetahuinya, adakah anda membawa perkara itu kepada lembaga

Shahrol Azral: Tidak

Shahrol Azral menambah, lembaga itu yang dipengerusikan oleh Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin pada masa itu langsung tidak dimaklumkan tentang maklumat penting itu.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunaan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Selasa.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu