Dana PPP, TPPM untuk Pulau Pinang akan dibincang 25 Nov - Jagdeep [ 2m ago ]

Berita AM


Perbicaraan kes 1MDB ditangguh sehingga Isnin, Najib alami alahan mata

Tarikh kemaskini: 31/10/2019
Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR, 31 Okt -- Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan pertuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan sehingga Isnin ini kerana bekas perdana menteri itu sekali lagi mengalami masalah pada matanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib untuk menangguhkan perbicaraan atas sebab kesihatan dan pasukan pendakwaan tidak membantahnya.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pada pagi tadi Najib telah ke Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) di sini setelah bengkak di kedua-dua matanya semakin teruk dan doktor mengesyaki ia disebabkan oleh konjunktivitis.

"Bagaimanapun, doktor mengatakan ia (konjunktivitis) tidak mungkin terlalu kerap, jadi kemungkinan beliau alah kepada sesuatu dan perlu disiasat.

"Esok pagi beliau mungkin perlu melakukan ujian darah penuh dan pada sebelah petang beliau menghadiri kempen pilihan raya kecil di Johor Bahru...tetapi jika keadaan (mata) berterusan...nampaknya beliau mungkin perlu membatalkannya juga," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak membantah permohonan berkenaan.

Muhammad Shafee turut menyerahkan sijil sakit (MC) Najib dan gambar-gambar mikroskopik mata bekas perdana menteri itu.

"Hanya kita tiga pihak sahaja yang memperoleh gambar ini. Saya harap ia dilindungi supaya tidak sampai ke internet dan menjadi bahan Halloween.

"Anak guam saya mahu datang ke mahkamah dengan kaca mata hitam yang besar tetapi bengkaknya melampau, terlalu besar...jadi beliau tidak boleh datang. Beliau memohon maaf kepada mahkamah di atas sebarang kesulitan," katanya.

Sri Ram dan Muhammad Shafee kemudiannya mencadangkan perbicaraan disambung pada Isnin mengikut masa yang ditetapkan. Namun mulai Selasa, perbicaraan akan bermula pukul 9.30 pagi sehingga 6 petang selama tiga hari sehingga Khamis selama dua minggu.

Cadangan itu dipersetujui hakim.

Penangguhan ini merupakan kali kedua perbicaraan 1MDB ditangguhkan kerana masalah mata Najib. Sebelum ini beliau mengalami jangkitan konjunktivitis.

Najib, 66, ahli parlimen Pekan, menghadapi empat pertuduhan menyalahguna kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Perbicaraan pada Isnin ini akan diteruskan dengan pemeriksaan balas pihak pembelaan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.



-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu