Arif Fadzilah akui sudah lama idam sertai TFC [ 3m ago ]

Berita AM


Tambahan RM1 bilion diluluskan Najib, tidak disarankan BOD - saksi

Tarikh kemaskini: 07/11/2019
Shahrol Azral Ibrahim Halmi
KUALA LUMPUR, 7 Nov -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tambahan RM1 bilion yang dilaburkan dalam perjanjian usaha sama 1Malaysia Development Berhad (1MDB)-PetroSaudi diluluskan Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 2011.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang berkata demikian, bagaimanapun tidak bersetuju terhadap cadangan bahawa lembaga pengarah (BOD) mengesyorkan Najib (pemegang saham hak keutamaan) meluluskan dana tambahan itu.

Saksi berusia 49 tahun itu berkata demikian apabila dia ditunjukkan pernyataan saksinya berhubung Resolusi Pemegang Saham Keutamaan Boleh Tebus Hak Istimewa bertarikh 16 Mei 2011 oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-33 perbicaraan kes dana 1MDB bekas perdana menteri itu.

Muhammad Shafee yang membacakan pernyataan saksi Shahrol Azral berkata, Najib atas kedudukannya sebagai menteri kewangan ketika itu melalui Menteri Kewangan Diperbadankan, menandatangani perjanjian pelaburan tambahan RM1 bilion, usaha sama 1MDB-PetroSaudi menerusi Perjanjian Pembiayaan Murabaha.

Muhammad Shafee: Daripada keterangan kamu tadi, anda mengatakan bahawa lembaga pengarah disarankan tanpa keraguan kepada Pemegang Saham Keutamaan Boleh Tebus Hak Istimewa untuk menandatangani kerana mereka (BOD) cukup gembira dengan hasil mesyuarat PSI di London

Shahrol Azral: Tidak…mereka berpuas hati hasil mesyuarat bersama PSI itu dan dalam mesyuarat itu dengan Najib sebelum mesyuarat lembaga. Lembaga pengarah berpuas hati bahawa ini adalah selaras dengan apa yang strategik kepada Najib dan juga untuk negara. Saya tidak setuju bahawa lembaga yang menyarankan kepada Najib.

Kepada soalan lain, saksi itu berkata lembaga itu ‘gembira’ dan selesa dengan PSI serta berpuas hati dengan penjelasan Tarek Obaid (CEO PSI) dan Patrick Mahony (pengarah PSI) kepada Najib (Pengerusi lembaga penasihat) semasa lawatan ke pejabat PSI di London pada 16 Mei 2011.

Beliau berkata dia menghadiri kedua-dua mesyuarat antara lembaga 1MDB dan PSI, serta mesyuarat lembaga 1MDB, PSI dan Najib.

Apabila ditanya mengapa RM1 bilion (pinjaman tambahan) tidak dibincangkan dalam resolusi pekeliling pengarah (DCR) 1MDB, saksi itu berkata perkara itu dibincangkan tetapi tidak didokumenkan dalam minit tersebut.

Muhammad Shafee: Boleh saya bertanya anda, bagi kali ketiga, boleh tunjukkan saya bahagian mana minit yang didokumenkan bahawa lembaga membincangkan perkara itu dalam DCR

Shahrol Azral: Saya ulang, buat kali ketiga, ia dibincangkan pada mesyuarat sebelum itu pada 4 April 2011 di Kuala Lumpur dan keseluruhan tujuan lembaga melawat PSI adalah untuk memastikan mereka selesa dengan PSI sebelum menandatangani DCR.

Muhammad Shafee: Saya menyatakan kepada anda bahawa perkara dalam DCR itu sengaja tidak dinyatakan untuk menyekat lembaga daripada melakukan perbincangan penuh mengenainya.

Shahrol Azral: Saya benar-benar tidak bersetuju.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan, dengan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

-- BERNAMA






        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu