Mitra provides IR4.0 training for benefit of Indian community [ 3h ago ]

Berita AM


Kula Segaran lakukan lawatan kerja ke Jepun bermula esok

Tarikh kemaskini: 14/08/2019


KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran akan mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Jepun bermula esok hingga 19 Ogos ini bagi mengkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Jepun, terutamanya dalam bidang perlindungan sosial pekerja serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Dasar Pandang Ke Timur 2.0.

Menurut kementerian dalam satu kenyataan hari ini, semasa lawatan berkenaan, Kula Segaran dijadualkan melawat Cyberdyne Inc. di Tsukuba bagi melihat kemudahan teknologi neurobotik tercanggih, Robot Suit HAL (Hybrid Assistive Limb).

Robot Suit HAL adalah robot jenis cyborg pertama di dunia yang boleh memulih, menyokong dan meningkatkan tahap kefungsiaan mobiliti tubuh pesakit apabila dipakai.

Kula Segaran yang mengetuai delegasi dari kementerian dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), akan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKESO dan Cyberdyne Inc. untuk mewujudkan satu pusat serantau yang menawarkan rawatan dan latihan cybernics di Malaysia.

“Selain itu, PERKESO juga akan menandatangani MoU dengan Universiti Tsukuba berhubung penyelidikan dan pembangunan reka cipta Robot Suit HAL,” menurut kenyataan itu..

Kula Segaran juga akan mengadakan lawatan ke Pusat Terapi Nagoya Proton di Nagoya bagi meninjau kemudahan dan teknologi ‘Proton Beam Therapy’ yang digunakan untuk merawat penyakit barah, yang akan membantu kepada negara meletakkan penanda aras dalam penubuhan Pusat Proton Beam Therapy di Malaysia.

Beliau juga akan mengetuai perbincangan terperinci antara kementerian dan National Institute of Technology (KOSEN), Tokyo di bawah Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun.

“Perbincangan ini menjurus kepada pertukaran pelajar dan pengajar antara Pusat Latihan Teknologi Lanjutan (ADTEC) Melaka dan KOSEN bagi tempoh jangka pendek dan sederhana,” menurut kenyataan itu.

Di samping itu, perbincangan berhubung pemindahan kepakaran dan pembelajaran moden dalam bidang TVET turut akan diterokai.

-- BERNAMA






















       Berita Utama Terdahulu