TFC gagal manfaat laman sendiri pada aksi suku akhir menentang JDT [ 8h ago ]

Berita AM


Hotel kutip dana beli ambulans untuk kawasan Batu Ferringhi

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
Zaini Khir Johari (Foto ehsan Twitter)
GEORGE TOWN, 12 Sept -- Beberapa hotel di Batu Ferringhi bekerjasama untuk mengumpul RM185,000 dalam tempoh kurang empat bulan, bagi membeli sebuah ambulans, satu kenderaan kecemasan yang sangat diperlukan di kawasan itu.

Ketika mengumumkan jumlah kutipan itu, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari berkata Hotel Hard Rock Pulau Pinang mengutip dana paling tinggi sebanyak RM70,000 dengan HTC Motorcycle Club mengumpul RM60,000.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, Shangri-la Rasa Sayang Resort and Spa, Golden Sands Resort, Hotel Bayview Beach dan Hotel Angsana pula masing-masing mengumpul RM10,000 manakala Holiday Inn Resort menyumbang RM5,000.

“Dana yang dikumpul itu digunakan untuk membeli sebuah ambulans baharu yang akan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat, pelancong dan tetamu hotel di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang.

“Ambulans ini akan ditempatkan di Hotel Angsana, Teluk Bahang dan diuruskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum menandatangani nota persefahaman dengan Pengerusi MAH Pulau Pinang Khoo Boo Lim, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Norhafifi Ismail dan Timbalan Pengarah APM Mejar (PA) Mohd Huzaimi Raup bagi operasi ambulans berkenaan.

Usaha mengutip dana itu dikenali sebagai projek ‘Ambulance for Life’ dimulakan pada Jun lepas dan diterajui oleh Hotel Hard Rock Pulau Pinang yang mendedikasikan acara yang diadakan dua kali setahun ‘Rock to Rock Run’ untuk projek tersebut.

Projek itu dibuat memandangkan sebuah ambulans mengambil masa kira-kira 45 minit dari Hospital Pulau Pinang untuk sampai ke Batu Ferringhi, tetapi dengan adanya ambulans yang ditempatkan di kawasan itu, ia akan mengurangkan masa perjalanan bagi menghantar mereka yang memerlukan rawatan perubatan segera.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu