KBS bakal salur dana khas kepada Hafizh Syahrin [ 2m ago ]

Berita AM


Supt Amran Ketua Polis Daerah Kuala Pilah yang baharu

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Amran Mohd Gani (dua, kanan)
KUALA PILAH, 10 Okt -- Bekas Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (IPKNS), Supt Amran Mohd Gani dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Pilah yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Amran mengambil alih jawatan itu yang sebelum ini dipangku DSP Syahrul Anuar Abdul Wahab yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah.

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah disaksikan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Mohamad dalam ucapannya berkata dalam pembangunan negara ke arah sebuah negara maju telah membuka pelbagai ancaman jenayah ketika ini.

Namun demikian katanya, segala ancaman yang dihadapi warga polis khususnya perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

"Kita sendiri tahu bahawa bersatu padu dan bekerjasama antara warga IPD Kuala Pilah adalah sangat penting, supaya semua tugas yang dilaksanakan akan lebih membawa kepada kejayaan.

"Saya mahu semua warga IPD Kuala Pilah sentiasa memberi perkhidmatan terbaik dan menyumbangkan sesuatu yang hebat kepada setiap lapisan masyarakat yang memerlukan bantuan pada setiap masa tanpa mengira pangkat, kaum dan segala-galanya," katanya di sini, hari ini.

Beliau juga turut mengingatkan warga IPD Kuala Pilah agar sentiasa peka dan memberikan bantuan sepenuhnya kepada pihak Istana Besar Seri Menanti dan Balai Luak Undang Johol selaras dengan kedudukannya yang berada di kawasan Bandar Diraja Negeri Sembilan.

"Ini penting bagi memelihara tali persaudaraan dan hubungan baik antara polis khususnya IPD Kuala Pilah dengan pihak istana yang telah lama terjalin," katanya.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu