KBS bakal salur dana khas kepada Hafizh Syahrin [ 4m ago ]

Berita AM


Bekas pengarah urusan didakwa lupus 2.8 juta saham

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Bekas Pengarah Urusan DIS Technology Holdings Berhad (DIST) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melupuskan 2.8 juta unit saham syarikat itu, sembilan tahun lepas.

Cheah Yew Keat, 62, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa melupuskan 2.8 juta unit saham DIST di dalam akaun Sistem Depositori Pusat milik Chuah Ni.

Cheah didakwa melakukan perbuatan itu ketika mempunyai maklumat yang tidak boleh didapati secara umum, seseorang yang munasabah akan menjangka maklumat berkenaan mempunyai kesan material ke atas harga atau nilai saham tersebut.

Maklumat yang tidak boleh didapati secara umum itu berhubung laporan kewangan tidak diaudit DIST bagi suku ketiga 2008 hingga suku keempat 2009 berkemungkinan telah disalah nyata berikutan satu dakwaan penipuan yang telah dilaporkan oleh pelanggan utama DIST, Starlight Marketing Limited.

Cheah didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini, pada 1 hingga 4 Mac 2010.

Pertuduhan mengikut Seksyen 188 (2) (a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 188 (4) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Zulaida Zulkifli menawarkan jaminan sebanyak RM300,000 bagi semua pertuduhan selain tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Peguam Devanandan S. Subramaniam, mewakil tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 kerana anak guamnya merupakan Orang Kurang Upaya yang menghidapi penyakit polio sejak berusia tiga tahun dan kini telah muflis.

"Tertuduh mempunyai seorang anak yang telah berumah tangga dan isterinya yang merupakan warganegara Taiwan bekerja dalam bidang perubatan Cina di Pulau Pinang berpendapatan RM10,000 sebulan dan perlu menanggung tertuduh serta dua anak lelakinya yang berada di Taiwan," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia bagi semua pertuduhan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 3 Dis untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu