KBS bakal salur dana khas kepada Hafizh Syahrin [ 2m ago ]

Berita AM


Teliti semula kaedah pemberian kad kuasa penarik kereta

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Mohd Fared Abdul Ghani
KOTA BHARU, 10 Okt -- Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) meminta pihak berkuasa meneliti semula kaedah pemberian kad kuasa kepada ejen penarik kereta di negeri ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata perkara itu perlu dilakukan oleh pihak berwajib terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta pihak bank berikutan terdapat kekeliruan yang dialami oleh pengguna ketika berdepan dengan ejen penarik kereta.

"Kami minta penapisan semula diadakan, permohon yang mahu menjadi ejen penarik kereta mesti bersih daripada rekod jenayah.

Setidak-tidaknya ejen-ejen yang sah perlu memakai uniform khas supaya pengguna tidak keliru dan pihak-pihak lain tidak mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah seperti samun, mencuri dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Pejabat KPDNHEP Kelantan di sini hari ini.

Kunjungan itu bagi membincangkan isu penarikan kereta di negeri ini.

Mohd Fared berkata pihaknya menerima kira-kira 1,000 aduan setiap tahun berkaitan isu penarik kereta di Kelantan yang yang sememangnya memberikan kesan kepada pengguna khususnya pemilik kereta.

"Ada aduan kereta ditarik apabila pemilik mahu mengambil semula kereta tidak ada dalam stor, begitu juga terdapat aduan tarik kereta di tempat lain buat laporan polis di tempat lain dan ada aduan kes jenayah menggunakan kereta yang ditarik.

Perkara ini perlu disuarakan supaya ejen penarik kereta dapat mendisiplinkan diri, cara pengambilan tidak terlalu kasar, tidak menimbulkan perbalahan dan lebih serius berlakunya jenayah yang menggunakan kereta yang ditarik," katanya.

Mohd Fared juga berkata cara dan waktu bekerja ejen penarik kereta turut dipertikaikan oleh pengguna di negeri ini.

"Ada yang datang hanya tunjuk surat melalui telefon, begitu juga waktu kerja (tarik kereta) melebihi waktu yang ditetapkan iaitu 9.00 pagi sehingga 9.00 malam, begitu juga dengan cuti, ada ejen mendakwa mereka bekerja tanpa cuti," katanya.

Beliau turut mengingatkan pemilik kenderaan meminta kad kuasa menarik kereta ditunjukkan petugas terbabit sebagai jaminan mereka petugas yang diarahkan mengambil kenderaan terbabit.

-- BERNAMA










       Berita Utama Terdahulu