KBS bakal salur dana khas kepada Hafizh Syahrin [ 2m ago ]

Berita AM


Bangunkan sistem demokrasi Malaysia berpaksikan kepada demografi dan komposisi kaum

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
SHAH ALAM, 10 Okt -- Malaysia dilihat harus dibangunkan menjadi sebuah negara dengan sistem demokrasi yang berpaksikan kepada demografi dan komposisi masyarakat berbilang kaum serta agama, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau yang juga Pengerusi Pusat Pembinaan Bangsa Institut Darul Ehsan (IDE) berkata ini berikutan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi pentadbiran terdahulu yang menerapkan gerrymander (penentuan sempadan), disifatkan telah ‘menyekat’ amalan demokrasi dalam pilihan raya.

“Sebab itu dalam pembahagian kerusi Parlimen sekarang ini, daripada 222 kerusi cuma 83 kerusi bercampur (Ahli Parlimen pelbagai kaum) sedangkan sepatutnya ada kira-kira 140. Ini berlaku kerana amalan ‘gerrymandering’ dan ‘malaportionment’ (oleh SPR dalam pentadbiran terdahulu). (Bagaimanapun) Kita tak boleh nak pinda persempadanan semula ini dan ia hanya boleh dibuat dalam tempoh lapan tahun lagi.

“Pada saya, tiba waktu itu nanti (persempadanan semula), kita harus mempunyai aturan komposisi atau kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lebih melambangkan kedudukan kepelbagaian kaum rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Dialog Shah Alam: Seminar Nasional Hidup Bersama dalam Kepelbagaian:Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai’ anjuran IDE, di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, walaupun hasrat itu akan cuba disemarakkan namun kerusi Parlimen atau DUN yang masih didominasi hanya satu kaum saja tetap akan wujud misalnya di Kelantan serta Terengganu dan perkara itu dilihat harus diterima oleh semua pihak.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata bagi menggapai hasrat membangunkan sistem demokrasi negara yang berpaksikan kepada komposisi kaum, terdapat tiga elemen disifatkan penting dan perlu diselami demi mengelak bercambahnya bilangan ahli politik berbicara mengenai isu berasaskan perkauman.

“Tiga elemen penting itu adalah dengan mewujudkan parti politik berbilang kaum, kesediaan rakyat mengundi pada parti yang membawa agenda kepelbagaian dan aturan sistem berpolitik dengan membawa agenda pelbagai bangsa.

“Ini bukan bermakna tidak boleh langsung ada parti (politik) berasaskan (satu) kaum tetapi ia mestilah bersifat inklusif dan menghormati kepelbagaian. Memang kita boleh ada parti yang mewakili satu kaum tapi jika ia membenci kaum lain, itu sudah menjadi rasis,” katanya.

Tambah Saifuddin, penerapan ketiga-tiga elemen itu dilihat bersesuaian bagi menyemarak dan membudayakan lagi amalan politik supaya lebih inklusif menerusi naratif yang betul dan akhirnya ia mampu memupuk semangat kepelbagaian kaum.

Ditanya mengenai penerapan kefahaman berkisar kepada sistem demokrasi seumpama itu perlu dipupuk di sekolah dengan mewujudkan semula sekolah wawasan, Saifuddin berkata isu sebenarnya yang perlu diberi perhatian adalah cara mendidik generasi muda.

“Kalau kita mendidik anak-anak kita supaya mereka (benar-benar) faham bahawa kita harus hidup bersatu padu dalam kepelbagaian (kaum), tak kisah sekolah mana pun, mereka tetap mempunyai kawan-kawan daripada pelbagai bangsa.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu