KBS bakal salur dana khas kepada Hafizh Syahrin [ 20m ago ]

Berita AM


Bahagian penguatkuasa KPDNHEP terima 71 kenderaan baharu

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
PUTRAJAYA 10 Okt -- Bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini menerima 71 unit kenderaan baharu untuk digunakan oleh pegawai penguatkuasa di seluruh negara.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Muez Abdul Aziz berkata sebelum pembelian 71 kenderaan baharu itu, bahagian penguatkuasa mempunyai 279 kenderaan namun kekerapan tugasan di luar pejabat menyebabkan banyak kenderaan sedia ada digunakan secara maksima dan perlu diganti.

"Kenderaan merupakan aset yang penting dalam menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan seperti risikan, siasatan, pemeriksaan dan kompaun,” katanya pada majlis penyerahan kenderaan berkenaan di KPDNHEP hari ini.

Sebanyak RM5.9 juta kos terlibat untuk pembelian 71 kenderaan berkenaan dan nilai itu hanya satu peratus daripada sumbangan bahagian penguatkuasa KPDNHEP kepada hasil negara dari 2015 hingga September 2019 iaitu RM506 juta melalui sitaan barang kes, kompaun, denda dan lucut hak, katanya.

Daripada 71 kenderaan baharu itu, 55 unit merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz AV manakala 16 lagi merupakan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Muez turut mengingatkan pegawai penguatkuasa KPDNHEP supaya tidak menyalahgunakan aset kerajaan dengan memastikan kenderaan berkenaan hanya digunakan untuk tugas rasmi sahaja dan bukannya untuk tujuan peribadi seperti membawa isteri dan menghantar anak ke sekolah.

"Saya juga mahu mewujudkan star rating bagi negeri yang menyelenggara kenderaan dengan baik. Mereka yang mempunya penarafan rendah berisiko dikenakan tindakan ditarik balik kenderaan," katanya.

Menyentuh mengenai kejayaan bahagian penguatkuasa KPDNHEP, Muez berkata dari 2015 hingga September 2019, tujuh juta operasi telah dijalankan dengan lebih 52,953 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan, dan nilai rampasan mencecah RM212 juta.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu