SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 38m ago ]

Berita AM


Kakitangan harap ada sinar baharu buat Utusan

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KOTA BHARU, 10 Okt -- Beberapa petugas Utusan Melayu (M) Berhad cawangan Kelantan mengharapkan ada sinar baharu buat mereka yang kini bingung memikirkan masa depan mereka, selepas syarikat itu menghentikan operasinya berkuat kuasa semalam.

Ada antara mereka yang terpaksa menangguhkan rancangan berkahwin malah lebih perit memikirkan ibu yang sedang sakit termasuk bayaran ansuran bulanan kenderaan, rumah dan sebagainya.

Bagi wartawan, Mohd Zaain Zin, 35, arahan penutupan syarikat itu sejak semalam ibarat "hilang tempat bergantung” yang sehingga hari ini masih lagi bingung untuk memikirkan masa depannya.

“Saya terus terfikirkan wajah ibu Siti Meriam Awang, 76, yang kini uzur akibat sakit tua. Saya sedih dan khuatir untuk tidak mampu untuk membelikan pelbagai keperluannya yang sebelum ini saya uruskan.

Fikiran saya masih kosong dan kepada Allah SWT saya mengadu agar ada sinar untuk saya dan rakan-rakan dalam Utusan,” katanya kepada Bernama.

Katanya sejak semalam fikirannya kosong seperti kehilangan arah tuju apatah lagi bila memikirkan pelbagai komitmen yang ditanggung.

"Saya dapat tahu perkara itu dalam pukul tiga pagi melalui beberapa kumpulan WhatsApp. Tiada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan saya pada masa tu. Terkejut, terkedu, keliru dan hilang kata-kata," katanya.

Mohd Zaain berkata beliau juga mula memikirkan bagaimana harus menyediakan wang sebanyak RM2,500 setiap bulan bagi membayar rumah selain sebuah kereta yang dibelinya tahun lepas.

Selain itu hasratnya untuk berumah tangga dalam tempoh terdekat mungkin terpaksa ditangguh terlebih dahulu walaupun pada masa yang sama kasihankan ibunya yang mahu melihat dirinya beristeri.

Dalam pada itu kerani di syarikat berkenaan, Hanifah Hamzah, 46, berkata penutupan Utusan memberi "tamparan" besar buat dirinya yang lebih 23 tahun berkhidmat di syarikat itu.

Katanya suaminya hilang pekerjaan sejak dua tahun lepas berikutan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu dan kini bekerja sendiri.

Katanya sejak suaminya hilang punca pendapatan tetap, sebahagian besar gajinya dibelanjakan untuk keperluan keluarga selain membayar pinjaman rumah yang dibelinya lapan tahun lepas.

"Memang saya tidak dapat menahan air mata memikirkan keadaan sekarang setelah sekian lama berkhidmat di Utusan yang menjadi sumber pendapatan kami sekeluarga. Saya harap Utusan tidak berakhir di sini, terlalu banyak jasa dan kenangan di Utusan" katanya yang memiliki empat orang anak yang semuanya masih bersekolah.

Tinjauan Bernama semalam ketika mereka sibuk “mengosongkan meja” ada antara mereka yang tidak segan silu mengalirkan air mata selepas diberitahu mereka tidak lagi bekerja di syarikat itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu