Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 7h ago ]

Berita AM


Taufan Matmo tidak beri kesan kepada Malaysia - MetMalaysia

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Taufan Matmo atau Bulbul yang kini berkedudukan di Teluk Benggala berhampiran Bangladesh dan Timur India tidak akan memberi kesan kepada Malaysia, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.

Beliau berkata kedudukan taufan berkenaan terlalu jauh dan tidak akan menjejaskan negara ini serta orang ramai dinasihatkan jangan mudah terpengaruh dengan berita yang tular di media sosial.

"Sentiasa rujuk laman web MetMalaysia untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini. Orang ramai tidak perlu bimbang dengan taufan berkenaan, kerana kedudukannya terlalu jauh dengan negara ini dan tidak ada kesan langsung," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas mengenai taufan Nakri beliau berkata ia dijangka melanda Vietnam pada 10 atau 11 Nov bagaimanapun tidak memberi kesan ketara kepada negara ini.

“Kesan taufan Nakri tidak ‘significant’ apa yang berlaku, kita jangkakan angin dari barat daya dan akan menyebabkan hujan biasa di sebelah pagi atau malam,” jelasnya.

Beliau berkata, masyarakat terutama nelayan tidak perlu bimbang dengan kesan taufan Nakri dan MetMalaysia akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa situasi taufan berkenaan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu