EcoWorld shares up on new JV with PowerChina [ 38m ago ]

BERITA DUNIA


Bantahan rang undang-undang ekstradisi di Hong Kong terus memuncak

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
BEIJING, 12 Jun (Bernama) -- Penunjuk perasaan bertindak membina benteng diperbuat daripada batu bata dan logam di jalan raya di Hong Kong, kerana membantah pindaan baharu dalam rang undang-undang ekstradisi kerajaan, lapor agensi berita Sputnik, memetik akhbar South China Morning Post pada Rabu.

Sejak beberapa minggu lalu Hong Kong dibelenggu kekacauan apabila penduduk mengadakan tunjuk perasaan membantah pindaan itu, yang jika diluluskan, akan membenarkan pelarian dipindah ke kawasan di mana Hong Kong tidak mempunyai bidang kuasa atau mencapai sebarang persetujuan. Perbahasan mengenai pindaan itu dijadualkan pada Rabu pagi tetapi dibatalkan.

Banyak kedai, perniagaan dan bank ditutup kerana kebanyakan pekerja turut menyertai bantahan itu. Penunjuk perasaan, kebanyakan pelajar, membawa poster dan menggesa ketua eksekutif Hong Kong, Carrie Lam meletakkan jawatan.

Sementara itu, van polis diletakkan berhampiran Akademi Seni Persembahan dan Pusat Konvensyen dan Pameran, yang berhampiran Majlis Perundangan.

Wilayah Hong Kong, yang menikmati autonomi penting di China kecuali dari segi dasar luar dan pertahanan, mempunyai sistem perundangan berbeza.

Golongan yang menentang rang undang-undang itu mendakwa ia akan menyebabkan Hong Kong "mati" kerana mana-mana aktivis hak asasi manusia atau anggota badan bukan kerajaan yang aktivitinya tidak disukai Beijing berdepan risiko akan diekstradisi atau dianiaya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu