25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

BERITA DUNIA


Pembaharuan ekonomi penting untuk pemulihan pasca konflik Iraq - Majlis Keselamatan PBB

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
NEW YORK, 12 Julai (Bernama) -- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakui cabaran yang terpaksa dihadapi Iraq dalam peralihan kepada persekitaran pasca konflik dan memerlukan pembaharuan ekonomi, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan para pemimpin badan itu yang pertama kali melawat negara tersebut pada Khamis.

Dalam satu misi yang diketuai bersama oleh Kuwait dan Amerika Syarikat, anggota majlis keselamatan melawat Kuwait City serta Baghdad pada 28 dan 29 Jun, bertemu dengan pegawai peringkat tinggi untuk mengukur keadaan di lapangan dengan lebih baik.

Dalam satu taklimat bersama, kesemua pemimpin menyifatkan jadual perjalanan dan rumusan lawatan itu meliputi pencapaian dan cabaran semasa.

Duta Kuwait ke PBB Mansour Ayyad Al-Otaibi berkata tujuan perjalanan itu adalah "serampang lima mata."

"Pertama, ia bertujuan menunjukkan sokongan terhadap pemulihan dan pembinaan semula pasca konflik Iraq. Ia juga untuk memerhati dan menyokong usaha-usaha Misi Bantuan PBB ke Iraq (UNAMI) serta Pasukan Penyelidik PBB untuk Mempromosi Akauntabiliti bagi Jenayah yang Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL/Da'esh)," kata beliau.

Ia juga bertujuan untuk mengenal pasti cabaran yang bakal dihadapi, termasuk menangani situasi kemanusiaan, keperluan pembaharuan ekonomi dan menarik pelaburan serta lebih memahami aspirasi dan kebimbangan rakyat Iraq ketika mereka memulakan proses menstabilkan dan membina semula negara mereka.

"Lawatan ini diharap dapat menangani isu rakyat Kuwait dan pihak ketiga serta pengembalian hartanah Kuwait termasuk arkib negara, selaras dengan Resolusi 2107 (2013)," katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu