25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

BERITA DUNIA


Kapal kargo bawa kokain yang dirampas di Philadelphia milik JPMorgan

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
NEW YORK, 12 Julai (Bernama) -- Pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat (AS) mendapati sebuah kapal kargo yang dirampas di Philadelphia bulan lalu kerana membawa kira-kira 20 tan kokain, adalah milik bank pelaburan terkemuka JPMorgan Chase, lapor agensi berita Xinhua.

Kapal dinamakan MSC (Mediterranean Shipping Company) Gayane itu, merupakan sebahagian strategi dana yang dibangunkan untuk unit pengurusan aset bank, memetik laporan CNN Business pada Rabu.

Dadah bernilai lebih US$1 bilion itu ditemui dalam tujuh bekas disembunyikan dalam kapal terbabit di Terminal Pengangkut Laut Packer di Philadelphia, kata Pejabat Peguam AS bagi Daerah Timur Pennsylvania (EDPA) pada Jun. Anak kapal itu turut ditahan dan didakwa.

"Ia adalah rampasan dadah terbesar dalam sejarah AS. Jumlah kokain itu boleh membunuh jutaan orang," tulis peguam AS untuk EDPA William M. McSwain dalam twitternya.

Kapal itu berhenti di Chile, Panama dan Bahamas, dipercayai untuk mengangkut dadah terbabit, menurut media tempatan.

Jumlah rampasan kokain global pada 2017 meningkat 1,275 tan metrik - kuantiti terbesar pernah dilaporkan, naik 13 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Laporan Dadah Sedunia 2019 dikeluarkan bulan lalu oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu