China's commercial carrier rocket smart dragon-1 makes maiden flight [ 4h ago ]

BERITA DUNIA


Moon berikrar pertingkat kempen antarabangsa untuk beri penghormatan kepada 'wanita penghibur'

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
Moon Jae-in (Foto: -/YNA/dpa)
SEOUL, 14 Ogos (Bernama) -- Presiden Moon Jae-in pada Rabu berkata kerajaannya akan mempertingkat usaha untuk meningkatkan kesedaran antarabangsa berhubung isu wanita Korea yang dipaksa menjadi hamba seks secara sistematik kepada tentera Jepun semasa Perang Dunia II, lapor agensi berita Yonhap.

"Kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk memulihkan maruah dan kehormatan mangsa yang menjadi wanita penghibur tentera Jepun,” kata Moon dalam satu amanat sempena sambutan hari memperingati mangsa.

Ahli sejarah berkata sehingga 200,000 kanak-kanak perempuan dan wanita, kebanyakannya rakyat Korea, mengalami kesengsaraan itu yang dikategorikan Korea Selatan secara rasmi sebagai satu jenayah terhadap kemanusiaan.

Isu itu pertama kali diketahui umum pada 14 Ogos 1991 melalui keterangan bersejarah mangsa yang dijadikan wanita penghibur, Kim Hak-sun, berkaitan pengalaman ngerinya.

Tahun lepas, pentadbiran liberal Moon telah menetapkan tarikh itu sebagai Hari Memperingati Wanita Penghibur secara rasmi.

Moon berkata ketabahan Kim dan mangsa lain dalam mendedahkan kesengsaraan mereka telah menyebabkan lebih ramai orang mengetahui kebenaran.

Kebanyakan mangsa telah mengambil bahagian dalam perhimpunan tunjuk perasaan yang berlangsung berhampiran Kedutaan Jepun di Seoul pada setiap Rabu sejak 1992 yang mendesak Tokyo memohon maaf secara rasmi.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu