TFC gagal manfaat laman sendiri pada aksi suku akhir menentang JDT [ 7h ago ]

BERITA DUNIA


Liga Arab kecam hasrat PM Israel

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
KAHERAH, 11 Sept (Bernama) -- Menteri-menteri luar Arab pada Selasa mengecam kenyataan Perdana Menteri Israel untuk mengilhakkan Lembah Jordan dan melihatnya sebagai satu perkembangan baharu yang "berbahaya", lapor agensi berita Anadolu.

Pelan baharu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu akan menjejaskan peluang kemajuan dalam proses damai, kata menteri luar Liga Arab dalam satu kenyataan selepas mesyuarat luar biasa di Kaherah bagi membincangkan pengumuman terbaru pemimpin rejim zionis itu.

Keputusan itu akan merosakkan semua asas penyelesaian damai dengan Palestin, kata kenyataan itu.

Netanyahu berkata Israel akan memberikan kedaulatan ke atas Lembah Jordan dan penempatan lain di Tebing Barat andai beliau memenangi pilihan raya yang akan diadakan pada 17 September.

Dianggarkan 70,000 orang Palestin bersama 9,500 peneroka Yahudi, kini tinggal di Lembah Jordan - tanah besar yang subur merangkumi satu perempat Tebing Barat.

Israel mendakwa lembah itu penting kepada keselamatannya dan tetap menolak sebarang idea melepaskan mana-mana bahagian dalam sebarang penyelesaian dengan Palestin.

Awal bulan ini Netanyahu berikrar untuk memperluaskan kawasan penempatan rakyat Israel ke seluruh kawasan yang diduduki di Tebing Barat.

"Kita akan beri kedaulatan ke atas semua penempatan, sebagai sebahagian daripada tanah dan negara Israel," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu