TFC gagal manfaat laman sendiri pada aksi suku akhir menentang JDT [ 7h ago ]

BERITA DUNIA


ASEAN , India kaji semula FTA mengenai barangan

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
NEW DELHI, 11 Sept -- ASEAN dan India bersetuju mengkaji semula perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang ditandatangani pada 2009, untuk menjadikannya lebih mesra perniagaan dan meningkatkan hubungan ekonomi dua hala, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Justeru itu, kedua-dua pihak bercadang menubuhkan jawatankuasa bersama, menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat antara Menteri Ekonomi ASEAN dan Menteri Perdagangan dan Industri India Piyush Goyal di Bangkok pada 10 September.

Menteri-menteri juga bersepakat untuk memulakan kajian semula berhubung perjanjian mengenai barangan bagi menjadikannya lebih mudah dan mesra pengguna.

Kedua-dua pihak turut menerima syor majlis perniagaan ASEAN-India untuk mempromosikan potensi perdagangan dua hala dengan mengoptimumkan FTA serta kerjasama dalam beberapa bidang seperti teknologi kewangan, kesalinghubungan, pemula niaga dan inovasi.

Perdagangan antara ASEAN dan India meningkat kepada US$80.8 bilion pada 2018 berbanding US$73.6 bilion pada 2017.

Namun, India tidak berpuas hati dengan defisit perdagangan yang semakin meningkat dengan ASEAN sejak FTA dua hala mengenai barangan berkuat kuasa pada Januari 2010.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu