Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 1h ago ]

BERITA DUNIA


Kabul terpaksa bergelap selepas militan antikerajaan letup menara kuasa di timur Afghanistan

Tarikh kemaskini: 09/10/2019
KABUL, 9 Okt -- Tindakan militan antikerajaan meletupkan sebuah menara kuasa di daerah Salang dalam wilayah Parwan yang terletak di timur Afghanistan telah menyebabkan Kabul terpaksa bergelap, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap polis wilayah Mohammad Salim Nuri pada Rabu.

"Militan Taliban telah meletup sebuah menara kuasa di daerah Salang yang terletak kira-kira 70 kilometer di utara Kabul pada awal Rabu, menyebabkan Kabul terpaksa bergelap," kata Nuri kepada Xinhua.

"Bahan letupan yang diletak di bawah menara kuasa 220 kilowatt di bahagian selatan daerah Salang meletup pada kira-kira pukul 1.30 pagi waktu tempatan hari ini dan menyebabkan bekalan elektrik ke Kabul dan beberapa wilayah lain terputus," kata Syarikat Tenaga Afghanistan Breshna Shirkat dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik Kabul telah dimulakan.

Ini adalah kali kedua kumpulan Taliban didakwa memusnahkan menara kuasa dan memutuskan bekalan elektrik ke Kabul dan wilayah lain sejak sebulan lepas.

Dalam insiden sebelum ini, militan bersenjata telah meletupkan menara kuasa di utara wilayah-wilayah Baghalan dan Kunduz, yang menyebabkan bekalan elektrik ke Kabul dan 11 wilayah lain terputus selama seminggu, kata pegawai.

Militan Taliban belum tampil dan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu