Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 8h ago ]

BERITA DUNIA


UNGA terima pakai resolusi gesa AS henti sekatan ke atas Cuba

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
NEW YORK, 8 Nov -- Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Khamis menerima pakai resolusi yang menggesa Amerika Syarikat (AS) agar menghentikan sekatannya ke atas Cuba, dan ini merupakan kali ke-28 badan dunia itu meluluskan resolusi seumpamanya, lapor agensi berita China Xinhua.

Selepas berpuluh-puluh negara dan kumpulan antarabangsa membahaskan draf resolusi selama dua hari, 187 negara anggota mengundi menyokong; AS, Israel dan Brazil menentang manakala Colombia dan Ukraine berkecuali.

Resolusi itu mengulangi gesaan kepada semua negara agar tidak bertindak "mengisytiharkan dan melaksanakan" undang-undang serta langkah yang mempunyai "kesan luar wilayah" dan boleh menjejaskan kedaulatan negara lain, merujuk kepada peraturan seperti Akta Helms-Burton AS yang diluluskan pada 1996.

Meskipun memiliki pengaruh politik, resolusi yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung tidak mengikat secara sah dan pelaksanaannya tidak dapat dikuat kuasa.

Resolusi itu meminta setiausaha agung PBB menyediakan laporan berhubung pelaksanaan resolusi pada masa ini dan menyerahkannya kepada perhimpunan pada sesi ke-75, yang bermula pada September 2020.

Kali pertama AS mengenakan sekatan senjata api ke atas Cuba ialah pada 1958. Sejak 1960, Washington telah memperkenal beberapa sekatan dalam pelbagai sektor termasuk transaksi kewangan, perdagangan dan perjalanan.

Semasa perdebatan pada Khamis, Wakil Tetap AS ke PBB Kelly Craft dan Menteri Luar Cuba Bruno Rodriguez merujuk Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia untuk mempertahankan hujah mereka.

Craft telah menyenaraikan hak-hak rakyat yang beliau dakwa kerajaan Cuba nafikan dan berkata "AS tidak bertanggungjawab terhadap penganiayaan berterusan rejim Cuba ke atas rakyatnya."

Rodriguez pula berkata sekatan AS telah menjejaskan "hak rakyat Cuba untuk hidup" -- yang merupakan perkara ketiga dalam deklarasi itu dan "sekatan itu telah menyebabkan kemusnahan kemanusiaan yang tidak dapat digambarkan."

Hubungan AS-Cuba semakin memburuk sejak Donald Trump mengambil alih jawatan sebagai presiden pada 2017.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu