Piala Dunia bawah 20 tahun: pemain Korea Selatan terima sambutan wira [ 11m ago ]

Berita EKONOMI


MBSB akan lakukan penyusunan semula dalaman

Tarikh kemaskini: 11/06/2019
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) — Malaysia Building Society Bhd (MBSB) merancang untuk melakukan penyusunan semula dalaman.

Ini akan membawa kepada anak syarikatnya, MBSB Bank Bhd, mengambil alih status penyenaraian MBSB di bursa tempatan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman.

Beliau berkata langkah penyusunan semula itu akan dimulakan apabila MBSB menukarkan aset konvensionalnya yang bernilai RM1 bilion atau antara 10 peratus atau 12 peratus daripada jumlah asetnya dalam tempoh dua tahun.

“Saya fikir, di bawah pelan perniagaan kami, Bank Negara Malaysia telah memberikan kami tiga tahun untuk melupuskan kesemua aset konvensional, dan kami ada lebih daripada 85 peratus.

“Kami tidak boleh melakukannya dengan segera kerana terdapat beberapa isu penyusutan nilai yang perlu diselesaikan, dan ia penting dalam peralihan untuk menjadi perbankan Islam,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung ke-49 MBSB, di sini, hari ini.

Beliau berkata apabila kesemua isu dapat diselesaikan, bank itu akan mendapatkan persijilan patuh syariah sepenuhnya dan MBSB kemudiannya akan menjadi syarikat pegangan.

“Penyusutan nilai adalah satu kebimbangan (kepada kami). Kami melihatnya dari sudut kerugian kredit dijangkakan (ECL), kami memantau perkara ini dengan sangat berhati-hati,” katanya.

MBSB mencatatkan untung bersih rendah sebanyak RM83.83 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2019 berikutan ECL yang tinggi iaitu RM153.02 juta.

“Kami menjalankan kempen yang sangat agresif ataupun mengambil pendekatan agresif terhadap sistem sistem pengumpulan baharu, menyediakan tenaga kerja yang besar bagi pemulihan akaun penjagaan awal. Diharapkan, ini akan menangani penyusutan nilai kami, kemungkinan dalam tempoh 12 hingga 14 bulan,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2019, kumpulan akan memberi tumpuan mengembangkan perkhidmatan dan produknya termasuk pembiayaan perdagangan, pengurusan harta dan perbankan internet dan mudah alih, untuk memenuhi pelbagai segmen pelanggan dan pendepositnya.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu