Piala Dunia bawah 20 tahun: pemain Korea Selatan terima sambutan wira [ 9m ago ]

Berita EKONOMI


HPMT Holdings optimis ke atas unjuran perkhidmatan perkakasan pemotongan

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pengilang dan pengedar peralatan pemotongan, HPMT Holdings Bhd, yakin terhadap prospek industri berkenaan ketika ekonomi global sangat mencabar, termasuk Brexit dan perang perdagangan AS-China.

Pengarah Urusannya Khoo Seng Giap berkata syarikat itu mahu terus kekal berdaya saing dalam pasaran global dengan mengembangkan pangkalan pelanggannya dan bekerja rapat dengan rakan industri tempatan.

"Namun jika setiap tiga hingga enam bulan, persekitaran ekonomi terus berubah, ini akan menimbulkan masalah kerana pelabur akan menangguhkan pelaburan mereka," katanya selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia di sini hari ini.

Memandangkan syarikat itu menerima sambutan bercampur-campur daripada pelanggan dalam rangkaiannya di lebih 30 negara, Khoo berkata antara kaedah untuk meningkatkan pangkalan pelanggan di Malaysia, China dan Jerman, syarikat akan meneroka bekerjasama dengan rakan tempatan yang baharu dan kompeten yang ada hubungan dengan zon perindustrian.

"Memandangkan produk dan perkhidmatan kami bukan produk kediaman, sebaliknya untuk sektor perindustrian, termasuk aeroangkasa, perubatan dan kereta, kami perlu terus meletakkan kami dalam kedudukan yang kompetitif untuk merebut peluang walaupun wujud kekangan.

"Kami melihat China masih merupakan pasaran besar dan penting bersama Eropah Barat dan Eropah Timur," kata Khoo.

Beliau juga berkata pasaran Jepun, Itali dan India telah menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan, manakala pasaran Turki dan Malaysia tidak menentu.

Mengenai cara untuk mengatasi cabaran operasinya dengan pertukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan dan kos buruh yang lebih tinggi, beliau berkata pembelian dan penerimaan yang lebih tinggi dari pasaran AS dan Eropah akan membantu mengimbangi margin dan mengehadkan pendedahan ke atas pertukaran asingnya.

Walaupun bahan mentah yang kebanyakannya diimport dari China mungkin bersifat spekulatif dari semasa ke semasa, syarikat yakin dapat mengurus kos dengan berkesan dan memberikan lebih banyak nilai kepada pelanggan, dan dapat menyesuaikan dan menyerap kenaikan kos.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu