Piala Dunia bawah 20 tahun: pemain Korea Selatan terima sambutan wira [ 11m ago ]

Berita EKONOMI


Crest Builder sasar ECRL- projek berkaitan

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Crest Builder Holdings Bhd menyasarkan untuk membida projek-projek bukan infrastruktur bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) seperti stesen depot di Negeri Sembilan dan Pahang Barat.

Syarikat itu menyertai proses kelayakan awal pada Mei, dan keputusan akan diumumkan menjelang akhir tahun, kata Pengarah Urusannya Eric Yong Shang Ming.

"Pembinaan merupakan kekuatan kami. Kini kami memberi tumpuan kepada kekuatan kami iaitu pembangunan hartanah dan pembinaan,” katanya pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

Lebih 1,000 syarikat pembinaan dari seluruh negara dilaporkan mengintai 40peratus bahagian kerja-kerja awam projek ECRL bernilai RM44 bilion susulan proses Pra-Q bagi mengenal pasti subkontraktor berpotensi.

Sejumlah 1,321 permohonan daripada syarikat berdaftar CIDB diterima oleh kontraktor utama ECRL, China Communications Construction Company Ltd (CCCC), semasa proses Pra-Q pada 29 dan 30 Mei 2019.

Sementara itu, Yong berkata syarikat itu positif bahawa pasaran hartanah akan melantun semula pada suku kedua tahun ini.

"Sejak dua tahun lepas, pasaran mengalami aliran menurun, dan pada masa ini kita dapat melihat pasaran kembali meningkat. Beberapa pelancaran projek sasaran kami ditangguhkan atas beberapa sebab termasuk penjajaran dan pengezonan semula," katanya. .

Tarikh sasaran tiga projek runcit, kediaman dan pejabat - Latitude 8 di Dang Wangi, projek MRB di Jalan Ampang dan kawasan LRT Kelana Jaya di Kelana Jaya - semuanya ditangguhkan selama sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun.

Nilai pembangunan kasar bagi ketiga-tiga projek itu berjumlah RM3.43 bilion.

Beliau berkata pada masa ini, syarikat itu memperoleh projek bernilai kira-kira RM100 juta dan menyasarkan untuk memperoleh RM500 juta lagi pada separuh kedua tahun ini.

"Pada masa ini, kami mempunyai projek dengan nilai pembangunan RM1.4 bilion. Mengenai prospek pasaran, kami yakin pasaran akan meningkat dengan permintaan yang tinggi terutama dalam sektor pembinaan," katanya.

Yong berkata pada masa ini, pembangunan dan pembinaan menyumbang 50 peratus daripada jumlah pendapatan syarikat, dengan pembinaan dijangka meningkat dan menyumbang 70 peratus kepada jumlah hasil pada suku akan datang.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu