Piala Dunia bawah 20 tahun: pemain Korea Selatan terima sambutan wira [ 9m ago ]

Berita EKONOMI


Malaysia Tech Week bermula 17 Jun ini

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Rakyat Malaysia akan berpeluang menemui sebahagian ahli korporat terkemuka negara, rakan kongsi ekosistem, pelabur, pengawal atur dan syarikat pemula niaga teknologi bersempena Malaysia Tech Week (MTW19) mulai 17 hingga 21 Jun.

Program anjuran Knowledge Group of Companies dengan sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berlangsung selama lima hari yang melibatkan pelbagai acara termasuk pameran inovasi, peluang padanan perniagaan, platform pembentangan dan akses kepada rangkaian ekosistem teknologi Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Naib Presiden Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan MDEC, Norhizam Abdul Kadir berkata MTW19 akan memberi tumpuan kepada kepentingan membina asas kukuh antara agensi utama dan industri bagi mewujudkan peluang kepada rakyat Malaysia menerima manfaat daripada ekonomi digital di samping melibatkan diri dalam bidang itu.

Pada masa yang sama, Bank Negara Malaysia juga akan menganjurkan Minggu Teknologi Kewangan (fintech) Malaysia bersempena MTW19.

Program tersebut akan memberi peluang kepada pereka baru, pelabur, pembuat dasar, akademia, pempengaruh fintech dan pemimpin industri dalam bidang kewangan, perbankan dan teknologi untuk meneroka peluang dan cabaran bagi memanfaatkan inovasi untuk membentuk masa depan industri perkhidmatan kewangan.

Pendaftaran untuk menyertai MTW19 kini dibuka dan maklumat lanjut berhubung acara itu boleh diperoleh di laman sesawang www.malaysiatechweek.com.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu