EcoWorld shares up on new JV with PowerChina [ 52m ago ]

Berita EKONOMI


Kaji semula AP gula bertapis di Sarawak -- MSM

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pihak pengeluar gula bertapis tempatan, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) hari ini menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan meluluskan permit import (AP) gula untuk lapan pengeluar makanan dan minuman (F&B) di Sarawak dan sebaliknya perlu melibatkan industri bagi mencapai penyelesaian jangka panjang.

Dalam satu kenyataan, MSM turut menyifatkan keputusan itu dibuat tanpa memahami sepenuhnya latar belakang dan tanggung jawab semasa dalam industri gula domestik serta impak jangka pertengahan sehingga jangka panjang terhadap bekalan gula dan jaminan keselamatan makanan di negara ini.

“Langkah jangka pendek dan bersifat populis yang membenarkan import gula itu akan hanya memaksa industri bertindak mengurangkan kos untuk terus bertahan. Ini termasuk mengurangkan perlindungan jaminan stok untuk negara dan menyebabkan pengeluar yang kerugian menutup operasi dalam usaha mengurangkan kos dan kapasiti.

“Ini sudah pasti memberi impak negatif terhadap negara dalam jangka pertengahan hingga jangka panjang, terutamanya selepas harga gula global meningkat. Semua ini merupakan risiko yang tidak boleh diambil oleh negara," kata syarikat itu.

MSM turut menyifatkan harga runcit gula bertapis RM2.85 sekilogram di Malaysia sebagai antara yang termurah di dunia dan jauh lebih murah daripada gula mentah di negara negara-negara pengeluar seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

"”Ini juga lebih rendah berbanding negara-negara dengan pendapatan per kapita lebih kecil seperti Kemboja, Vietnam dan banyak lagi,” katanya.

MSM berkata pihak pengeluar gula bertapis juga telah menyerap perbezaan harga antara pasaran dunia dan harga siling tempatan, termasuk faktor pertukaran asing sejak bertahun-tahun lamanya dan menjadi punca utama kerugian dialami kilang-kilang tertentu dan bukannya akibat ketidakcekapan seperti yang dibangkitkan baru-baru ini.

“Gula adalah komoditi strategik di kebanyakan negara di peringkat global dan berperanan sebagai bahan kritikal bagi kebanyakan pengilang. Pihak pengeluar gula tempatan telah melihat kesan kekurangan gula yang boleh menjejaskan ekonomi dan bagaimana kerajaan di serata dunia akan bertindak bagi memastikan bekalan itu mencukupi," katanya.

Atas alasan itu, kata MSM, kalangan pengeluar gula bertapis di Malaysia akan menahan stok dua hingga tiga bulan bernilai antara RM180 juta dan RM210 juta bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran yang membabitkan kos antara RM7 juta dan RM20 juta setahun dan telah menjadi sebahagian kos yang ditanggung oleh pihak tersebut.

Malah, bagi memastikan bekalan yang konsisten, pihak pengeluar gula bertapis tempatan telah membuat pelaburan besar dalam lima kilang penapisan gula dengan jumlah kapasiti mencecah tiga juta tan setahun dan melangkaui permintaan domestik semasa sebanyak 1.5 juta tan setahun, kata MSM.

Menurut syarikat itu, sejak bertahun lamanya, pihak pengeluar telah beroperasi pada margin tipis dan turut menyerap sebahagian besar impak harga untuk pengguna bagi memastikan kestabilan bekalan gula di negara ini.

Pada masa sama, ia turut berperanan sebagai warga korporat bertanggungjawab dengan sentiasa membayar cukai dan zakat kepada kerajaan pada setiap tahun.

"MSM dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd ingin menjemput Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk melawat kilang-kilang bagi memahami aspek kecekapan dan produktiviti kilang yang telah berperanan penting sejak 55 tahun lepas demi memastikan harga gula domestik yang stabil serta disokong bekalan penggunaan tempatan yang mencukupi.

"Kami juga berharap untuk mendengar input (maklumat) daripada Timbalan Menteri membabitkan penambahbaikan kecekapan yang dicadangkan oleh beliau," katanya.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu