MTW2019 Kick off today [ 3h ago ]

Berita EKONOMI


Untung Bermaz Auto melonjak kepada RM265.3 juta pada tahun kewangan 2019

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) – Keuntungan bersih Bermaz Auto Bhd (BAuto) melonjak 90 peratus kepada RM265.26 juta pada tahun kewangan berakhir 30 April, 2019, berikutan jumlah jualan domestik dan margin keuntungan kasar yang meningkat serta sumbangan keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat sekutu, Mazda Malaysia Sdn Bhd.

BAuto, yang mengedarkan kenderaan Mazda di Malaysia dan Filipina, berkata perolehan meningkat 25 peratus tahun ke tahun kepada RM2.49 bilion berikutan permintaan kukuh yang didorong oleh tempoh bebas cukai dari Jun hingga Ogos 2018 dan langkah kumpulan itu menyerap Cukai Jualan dan Perkhidmatan untuk tempahan yang diterima sebelum 1 Sept, 2018.

“Ini sebahagiannya diimbangi oleh pengurangan jumlah jualan daripada operasi di Filipina berikutan jualannya terjejas oleh pembaharuan cukai bagi undang-undang pecutan dan kemasukan (TRAIN),” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan itu turut mengumumkan dividen interim keempat sebanyak 3.5 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 7.0 sen dividen sesaham pada tahun kewangan 2019, meningkatkan jumlah dividen bagi tahun ini kepada 21.25 sen (tahun kewangan 2018: 10.4 sen), dividen tertinggi yang diumumkan sejak penyenaraiannya pada November 2013.

Mengenai prospek, BAuto berkata sentimen pengguna boleh terjejas oleh ketidakpastian mengenai pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kajian semula projek mega oleh kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14, ringgit yang lemah dan garis panduan sewa beli yang ketat.

“Bagaimanapun, pelancaran daripada semua model Mazda3, CX-8, CX-30 yang baharu dan wajah baharu model CX-5 yang popular, termasuk varian turbo 2.5cc di Malaysia, pada separuh kedua 2019 dapat mengurangkan cabaran tersebut,” menurut syarikat itu.

Bagi pasaran Filipina, pasaran kenderaan baharu terus rendah, sebahagian besarnya disebabkan pelaksanaan undang-undang TRAIN pada Januari 2018.

“Ini menyebabkan permintaan berkurangan bagi kebanyakan, jika tidak semua, jenama kereta dan operasi kumpulan di Filipina turut tidak terkecuali,” katanya.

-- BERNAMA








BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu