Piala Dunia bawah 20 tahun: pemain Korea Selatan terima sambutan wira [ 12m ago ]

Berita EKONOMI


Pastikan penyampaian substantif apabila Malaysia anjurkan APEC 2020, kata Tun M

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu menunjukkan komitmen padu untuk menghasilkan penyampaian yang substantif apabila Putrajaya menjadi tuan rumah bagi Persidangan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun hadapan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, Malaysia perlu mula merangka fasa baharu untuk APEC dan memastikan 2020 menjadi tahun yang lancar.

Penyerahan rasmi akan dibuat pada November ini selepas Chile mengakhiri tanggungjawabnya sebagai pengerusi.

Dr Mahathir menyampaikan mesej tersebut selepas beliau menerima kunjungan hormat hari ini daripada Pengarah Eksekutif APEC Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria dan Pengarah Program Malaysia di Sekretariat APEC Nurulaina Nadzeri.

Menurut Rebecca, Perdana Menteri amat teruja dan gembira dengan langkah negara ini ke arah masa hadapan.

Beliau yang bertugas di Singapura, tiba di sini bagi memberi taklimat kepada Perdana Menteri termasuk perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negari serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Saya memberi jaminan kepada Perdana Menteri bahawa semuanya akan berjalan lancar pada tahun hadapan. Ia akan menjadi tahun yang penting bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga bagi APEC kerana kita akan menyaksikan lengkapnya Matlamat Bogor," kata beliau kepada Bernama.

Sebagai imbasan, pada 1994, selepas pemimpin APEC bertemu di bandar Bogor, Indonesia, mereka mengumumkan matlamat jangka panjang untuk perdagangan dan pelaburan yang lebih terbuka serta bebas di Asia Pasifik.

Matlamat tersebut ditetapkan untuk dicapai selewat-lewatnya pada 2020.

Beliau juga berkata sekretariat akan memberi sokongan kepada Kerajaan Malaysia.

"Mereka hanya perlu menyampaikan bentuk sokongan macam mana yang diperlukan daripada kami dan kami akan kami akan melaksanakan bahagian kami".

Berikutan mesyuarat pemimpin-pemimpin APEC yang dijadualkan pada pertengahan November tahun ini, pihak sekretariat akan bekerjasama dengan semua anggota lain bagi mengketengahkan satu formula baharu untuk APEC.

"Penyerahan rasmi akan dibuat pada November ini selepas Chile selesai menjadi pengerusi dan Malaysia akan mengambil alih.

"Kami telah pun menjalankan kerja-kerja asas. Kami telah melakukan tiga sesi (mesyuarat) dengan MITI dan para pegawai Malaysia. Satu lagi mesyuarat akan dibuat pada Julai ini," katanya lagi.

"Dan saya memberitahu Dr Mahathir bahawa ini adalah kali pertama seorang pemimpin yang dipilih secara demokratik, menganjurkan mesyuarat APEC sebanyak dua kali.

"Ianya adalah rekod dunia dan pakar-pakar ekonomi amat teruja sekali, saya memberitahu beliau bahawa Tun M mempunyai kelab peminatnya sendiri!," katanya.

Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat APEC pertamanya pada 1998. Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh bekas Menteri MITI iaitu Tan Sri Rafidah Aziz.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu