Piala Dunia bawah 20 tahun: pemain Korea Selatan terima sambutan wira [ 12m ago ]

Berita EKONOMI


HSBC perkenal produk berstruktur Islam ESG pertama di Malaysia

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- HSBC Amanah Malaysia Bhd melancarkan produk berstruktur Islam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang pertama dalam pasaran Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, bank itu berkata pelancaran tersebut mencerminkan aspirasi kumpulan dalam pelaburan yang mampan dan seiring dengan inisiatif pengantaraan berasaskan nilai Bank Negara Malaysia.

Ketua Negara, Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Bank Malaysia, Tara Latini, berkata faktor ESG dapat digunakan untuk memacu kecemerlangan portfolio dan pelabur perlu mempertimbangkan faktor-faktor itu apabila membuat keputusan untuk melabur.

“Malah, di Malaysia dan di seluruh dunia, kita melihat ramai pemilik aset menganggap kemampanan jangka panjang perlu disertakan dalam proses pelaburan mereka,” katanya.

Produk ESG, yang 100 peratus prinsipal dilindungi jika disimpan hingga matang, membayar kupon tetap sebanyak 3.90 peratus setahun (tempoh tiga tahun) dan 4.50 peratus setahun (tempoh empat tahun) dalam tempoh dua tahun pertama pelaburan.

Bayaran pada akhir tahun ketiga dan keempat tertakluk kepada prestasi Indeks Kemampanan Korporat Hang Seng dan tertakluk kepada had sebanyak 5.90 peratus dan pelarasan dolar US-ringgit.

Produk ini dibuka untuk langganan oleh pelanggan HSBC/HSBC Amanah Premier dari 10 Jun hingga 21 Jun, 2019.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu