25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

Berita EKONOMI


Matta gesa kajian mendalam levi pelepasan

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menggesa kerajaan agar bertemu dan berbincang dengan pemegang kepentingan industri pelancongan sebelum melaksanakan levi pelepasan.

Presidennya Datuk Tan Kok Liang berkata kerajaan perlu melakukan kajian lebih mendalam mengenai levi tersebut sebelum melaksanakannya, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 yang tinggal hanya enam bulan sahaja lagi.

"Dengan semua promosi agresif yang dilakukan, industri pelancongan sepatutnya mencapai sasaran (bagi Tahun Melawat Malaysia 2020) tetapi levi pelepasan sudah pastinya akan menghalang pencapaian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis permeteraian memorandum persefahaman dengan empat syarikat e-hailing bagi menggunakan pengangkutan berdaftar dengan Matta menerusi platform e-hailing.

Menurutnya, kerajaan perlu meneliti laporan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang mengunjurkan levi itu bakal memberi impak negatif kepada industri penerbangan.

"Kami tidak mengatakan ‘ya atau tidak’ kepada levi pelepasan itu tetapi kami meminta kerajaan agar mengkaji implikasinya," katanya.

Tan juga berhujah bahawa levi itu tidak akan mengekang minat untuk melancong ke luar negara dan juga merangsang pelancongan tempatan.

"Adakah anda rasa orang akan berhenti pergi ke Eropah hanya kerana levi pelepasan dan sebaliknya memutuskan untuk melancong di dalam negara saya tidak fikir begitu. Ia tidak akan banyak meningkatkan pelancongan tempatan,” katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 diluluskan di Parlimen pada 10 April untuk dilaksanakan pada 1 Jun sebelum ditangguhkan ke 1 Sept.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata di Parlimen minggu ini bahawa kementeriannya mahu pelaksanaan itu ditangguhkan sehingga selepas Tahun Melawat Malaysia 2020.

Tourism Malaysia, agensi penggalakan pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengunjurkan Tahun Melawat Malaysia 2020 bakal menarik 30 juta pelancong antarabangsa datang ke Malaysia dan menjana perolehan sebanyak RM100 bilion.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu