Mitra provides IR4.0 training for benefit of Indian community [ 3h ago ]

Berita EKONOMI


PitchIN di landasan yang betul dalam mengumpulkan RM16 juta untuk 2019

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Platform pendanaan awam ekuiti (ECF), pitchIN telah mengumpulkan hampir RM13 juta untuk 11 syarikat sehingga Julai tahun ini dan yakin dapat mencapai sasaran RM16 juta yang ditetapkan bagi 2019.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sam Shafie, syarikat itu yang telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebagai pengendali pasaran ECF yang diiktiraf pada 2015, telah mengumpulkan sejumlah RM41.9 juta untuk 35 syarikat sehingga 12 Ogos 2019.

"Ini telah meningkatkan bahagian pasaran Malaysia kami kepada 80.2 peratus pada Ogos tahun ini, naik daripada 75 peratus pada 2018," katanya kepada pemberita semasa taklimat "New Age Investments" yang dianjurkan oleh Maybank di sini hari ini.

Setakat ini, syarikat telah berjaya menarik lebih 2,000 pelabur yang membuat pelaburan dalam 35 syarikat berkenaan dan kira-kira 400 daripada mereka merupakan pelabur dalam 11 syarikat yang muncul pada tahun ini.

Sementara itu, Sam percaya bahawa SC mungkin akan mengeluarkan satu rangka kerja pengawalseliaan bagi pasaran sekunder untuk ECF dalam suku keempat tahun ini, sekali gus membolehkan platform perdagangan pendanaan awam ekuiti yang pertama di Malaysia “diaktifkan” dalam suku kedua 2020.

“Daripada apa yang kami tahu, SC kini sedang membangunkan satu rangka kerja untuk pasaran sekunder membabitkan ECF dan pengawal selia itu mungkin akan mengumumkan hasilnya dalam sebulan atau beberapa minggu lagi," katanya, sambil menambah bahawa syarikatnya pasti memohon untuk melancarkan pasaran sekunder ECF jika rangka kerja itu sudah tersedia.

Sam menjelaskan lagi, walaupun prestasi syarikat amat menggalakkan, pendidikan dan pendedahan mengenai ECF di kalangan rakyat Malaysia masih lagi lemah.

"Berbanding dengan pasaran yang sudah matang seperti di United Kingdom, Malaysia masih tertinggal di belakang dalam tempoh dua atau tiga tahun.

"Tetapi apa yang kerajaan boleh lakukan adalah membenarkan pasaran sekunder untuk ECF (bagi menarik lebih ramai pelabur)," katanya.

Antara syarikat-syarikat yang telah mengumpul dana daripada pitchIN ialah kakitangan.com, perisian sumber manusia dalam talian untuk perniagaan Malaysia, yang telah mengumpul RM1.5 juta dalam 24 jam, platform perangkai padan Fundaztic (RM4 juta dalam 38 minit) dan pembekal ekosistem e-dagang commerce.asia (RM5 juta), jumlah tertinggi setakat ini.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu