'The Shore Sky Tower Towerthon Challenge' sasar 1,500 peserta [ 7m ago ]

Berita EKONOMI


MMAG jalin kerjasama dengan PT Lion Express sedia perkhidmatan pengiriman bungkusan

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
KUALA LUMPUR, 11 Sept -- Anak syarikat MMAG Holdings Bhd, Line Clear Express and Logistics Sdn Bhd memeterai perjanjian kerjasama perniagaan pelbagai tahun dengan PT Lion Express yang berpangkalan di Jakarta bagi menyediakan perkhidmatan pengiriman bungkusan.

MMAG dalam satu kenyataan hari ini berkata kerjasama ini akan membolehkan rakyat Malaysia atau Indonesia yang tinggal di Malaysia mengirim barang atau bungkusan ke Indonesia dan sebaliknya.

Kedua-dua pihak akan menyediakan pelbagai perkhidmatan pengurusan rantaian bekalan termasuk logistik, penghantaran hingga ke destinasi akhir, pengangkutan dan penyelesaian yang disesuaikan.

Mereka juga menawarkan perkhidmatan tokokan nilai khusus seperti kemudahan rumah gudang di kedua-dua negara, perlindungan insurans, menggunakan rangkaian penerbangan Lion Air Group.

“Dipilih untuk bekerjasama dengan Lion Parcel of Indonesia telah meluaskan pasaran sasaran kami melangkaui 30 juta jumlah penduduk di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Line Clear Express and Logistics Wong Eng Su.

Beliau berkata ini akan menyediakan pemangkin bagi perusahaan kecil dan sederhana untuk memanfaatkan pasaran seramai 264 juta penduduk di Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif PT Lion Express Farian Kirana berkata Lion Air Group dengan kumpulan pesawat penumpang dan kargo yang besar akan membolehkan pengangkutan barangan selain penumpang yang tepat pada waktunya.

“Kami yakin perkongsian kami dengan Line Clear akan dapat menampung keperluan penghantaran bagi 2.5 juta rakyat Indonesia yang berada di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA








       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu