'The Shore Sky Tower Towerthon Challenge' sasar 1,500 peserta [ 10m ago ]

Berita EKONOMI


Bilik suite Impiana Resort Cherating dijual keseluruhan pada harga RM146 juta

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
KUALA LUMPUR, 11 Sept --Impiana Hotels Bhd telah membuat penjualan keseluruhan 146 unit bilik suite berperkhidmatan di Impiana Resort dan Residences Cherating, Pahang, kepada Silver Max Asia Pacific Labuan Ltd pada harga kira-kira RM146 juta.

Seiring dengan perjanjian jual beli hari ini, Impiana Cherating Sdn Bhd (ICSB), anak syarikat milik penuh Impiana, juga menandatangani perjanjian pengurusan pajakan di mana Silver Max akan memajak unit itu semula ke ICSB bagi minimum 10 tahun.

Bilik suite itu adalah sebahagian daripada 257 unit yang boleh dijual di bawah Fasa 1 di bawah pembangunan Impiana Resort dan Residences Cherating seluas 12.14 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM230 juta, kata Pengarah Eksekutif Impiana Hotels, Azrin Kamaluddin.

Pembangunan Fasa 1, yang bermula pada bulan Oktober tahun lepas, dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.

"Setakat ini, kira-kira 30 peratus daripada pembangunan tersebut telah selesai, dan berkemungkinan besar ia dapat disiapkan lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan.

"Kami menjangkakan resort itu dibuka semula pada akhir 2020 atau awal 2021," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini hari ini.

Beliau berkata keseluruhan pembangunan itu terdiri daripada tiga fasa dengan jumlah GDV berjumlah RM413 juta. Dua fasa pertama terdiri daripada unit resort utama dengan penyusunan jualan dan pajakan balik serta vila yang tidak dijual.

Sementara itu, Fasa 3 akan merangkumi unit-unit kediaman mewah. Beliau berkata ia masih dalam peringkat reka bentuk dengan pembinaan dijangka bermula pada separuh kedua 2020.

Mengenai fasa pertama, Azrin berkata selepas jualan keseluruhan dan beberapa jualan runcit, hanya tinggal kira-kira 90 unit lagi untuk dijual, ia membuktikan potensi resort itu sebagai destinasi pelaburan yang baik.

"Penyusunan pajakan berkenaan adalah kelas aset baru dan ia bukan sahaja memberikan hasil yang baik tetapi juga peningkatan nilai modal," katanya.

Mengenai perancangan pajakan dengan Silver Max, beliau berkata bagi lima tahun pertama, syarikat itu akan diberi jaminan keuntungan sebanyak lima peratus daripada jumlah jualan yang akan dibayar setiap tiga bulan, dan selepas lima tahun, ia akan melalui perkongsian keuntungan .

Pada masa hadapan beliau berkata Impiana Cherating dijangka menyumbang kira-kira separuh kepada keuntungan kumpulan.

Kumpulan itu juga percaya bahawa jualan dan pajakan semula itu adalah model perniagaan yang baik untuk kumpulan itu dan boleh diguna pakai di tanah baharu lain seperti di Pulau Pangkor dan Langkawi.

Mengenai rancangan pengembangannya, beliau berkata Impiana merancang untuk mengembangkannya di luar rantau Asia Tenggara. Ia telah menandatangani perjanjian pengurusan untuk sebuah hotel di Korea Selatan dan dua perjanjian lagi dalam perancangan.

Azrin berkata kumpulan itu akan terus merancang lebih banyak pengambilalihan, dan akan menilai kira-kira tiga hingga empat cadangan bulanan dengan kadar satu daripada 20.

Sementara itu, pengarah Silver Max, Alfonso Hin Ming Chu berkata kumpulan itu positif terhadap pelaburannya di Impiana Cherating yang boleh memberikan hasil kukuh.

"Kami optimistik ini akan menjadi pilihan yang menghasilkan kejayaan dan pelaburan yang baik serta berharap akan mendapat lebih banyak peluang lagi ketika Impiana meneruskan laluan pertumbuhannya,” katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu