Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 1h ago ]

Berita EKONOMI


Bank Malaysia sahut cabaran BNM untuk menangani perubahan iklim

Tarikh kemaskini: 09/10/2019
Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz (Gambar fail)
Laporan eksklusif oleh Farhana Poniman & Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Bank-bank Malaysia menyahut cabaran Bank Negara Malaysia untuk menangani perubahan iklim dengan melaksanakan dasar pinjaman bertanggungjawab serta mendidik pelanggan runcit dan perniagaan perbankan mereka mengenai kelestarian.

Sebuah daripada bank pelaburan terbesar di Asia, CIMB Group Holdings Bhd, berkata ia telah melancarkan pelbagai pinjaman berkaitan kelestarian dalam tempoh 12 bulan lepas, serta menerbitkan bon bernilai RM2.85 bilion untuk membiayai projek berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selepas menubuhkan Jabatan Kelestariannya pada Oktober tahun lepas.

CIMB juga telah menyertai gabungan 130 bank di peringkat global dengan gabungan aset lebih US$47 trilion untuk memberi komitmen bagi menyelaraskan perniagaan mereka dengan SDG dan Perjanjian Paris bagi Perubahan Iklim.

“Kami juga telah melaksanakan dua dasar kumpulan secara meluas - satu mengenai dasar kelestarian menyeluruh dan satu lagi bagi memantau risiko alam sekitar dan sosial dalam perniagaan pinjaman kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz kepada Bernama.

Bagi perbankan runcitnya, beliau berkata CIMB menyediakan pengurangan kadar faedah kepada pelanggan yang membeli kereta dan rumah lebih cekap tenaga untuk menggalakkan mereka membuat keputusan yang lebih mengutamakan kelestarian.

Bagi perniagaan perbankan, bank itu aktif mempromosikan pinjaman berkaitan kelestarian kepada pelanggan, dengan pihak bank akan memberikan diskaun berperingkat kepada pelanggan jika mereka memenuhi prapersetujuan sasaran kelestarian pada asas tahunan.

Sementara itu, Malayan Banking Bhd (Maybank) telah mewujudkan Garis Panduan Pinjaman Bertanggungjawab pada 2015 untuk menguruskan risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), yang kemudiannya diperluas menjadi Kerangka Pengurusan Risiko ESG yang lebih komprehensif dan seterusnya diperakukan sebagai dasar syarikat pada 2018.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Abdul Farid Alias berkata dasar itu telah disepadukan ke dalam keputusan bank hari ke hari berhubung amalan pembiayaan.

“Susulan itu, kami telah membangunkan Kriteria Penerimaan Risiko (RAC) bagi risiko ESG yang dikenal pasti seperti Kelapa Sawit, Perhutanan & Pembalakan, Minyak & Gas dan Perlombongan & Pengkuarian. Lebih banyak RAC akan dilaksanakan secara berperingkat, memperkukuhkan lagi komitmen kami terhadap pinjaman bertanggungjawab.

“Kami bukan sahaja memantau amalan pelanggan kami tetapi turut memaklumkan kepada mereka bahawa kami hanya memberi sokongan kepada mereka yang dalam proses melaksanakan atau telah mengguna pakai amalan lestari,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu