Pusat pemindahan ditutup, mangsa banjir dipindah ke pusat lain [ 4m ago ]

Berita EKONOMI


Belanjawan 2020 : Rakyat mahu inisiatif kurangkan beban kos sara hidup

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Gambar fail.
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Hasil kaji selidik dalam talian bersempena Belanjawan 2020 yang membabitkan lebih 7,000 responden kalangan rakyat tempatan menunjukkan mereka mahukan inisiatif yang boleh mengurangkan beban kos sara hidup selain lebih banyak peluang meningkatkan kehidupan dan mendapat bantuan apabila dilanda musibah.

Kaji selidik yang membabitkan pelbagai latar belakang, peringkat umur dan lokasi adalah sebahagian daripada usaha pihak Kementerian Kewangan (MoF) melibatkan orang awam bagi berkongsi pandangan dan input untuk Belanjawan 2020, demikian menurut kenyataan media kementerian itu hari ini.

“Responden dalam kalangan belia mendesak kerajaan memudahcarakan peluang pekerjaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), menyediakan insentif untuk pelatih dan perantis bagi membina peluang menimba pengalaman bekerja serta penambahbaikan program pembangunan kemahiran dan (modal) insan," kata kementerian itu.

Sejajar usaha itu, Kementerian Kewangan juga telah menjalankan 12 sesi konsultasi kumpulan fokus di pelbagai lokasi di seluruh negara bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang akan membentangkan Belanjawan 2020 pada esok.

Belanjawan 2020 merupakan belanjawan kedua kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan.

Selain itu, majoriti responden dalam kaji selidik secara dalam talian juga meminta kerajaan meningkatkan lagi inisatif-inisiatif untuk menyokong golongan kurang bernasib baik, memastikan pembangunan seimbang bagi semua negeri dan menyediakan peluang sama rata untuk semua tanpa mengira kaum dan kepercayaan agama demi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

“Sehubungan itu, WKB mestilah berpandukan pertumbuhan ekonomi supaya dapat menjana kemakmuran untuk dikongsi bersama. Kerajaan telah meneliti dan mengambil perhatian terhadap maklum balas yang disampaikan rakyat menerusi kajian ini dan juga daripada sesi libat urus yang dilakukan menjelang Belanjawan 2020.”

Belanjawan 2019 telah memperuntukkan sebanyak RM259.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM54.7 bilion bagi tujuan perbelanjaan pembangunan.

Pembentangan Belanjawan 2020 itu akan disiarkan secara langsung menerusi media massa dan saluran-saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan di Facebook dan Twitter.

-- BERNAMA








       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu