Beberapa jalan di ibu negara dilanda banjir kilat [ 19m ago ]

Berita EKONOMI


Guan Chong peruntuk sehingga RM280 juta bina kilang pengisaran koko baharu di Cote D'Ivoire

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Pengisar koko keempat terbesar dunia, Guan Chong Bhd memperuntukkan antara 50 dan 60 juta euro (kira-kira RM230 juta hingga RM280 juta) untuk membina sebuah kilang pengisaran koko baharu dengan kapasiti 60,000 tan di negara Afrika Barat, Cote D'Ivoire.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Brandon Tay Hoe Lian berkata dengan kemudahan baharu itu, operasi GCB akan diperluaskan ke negara pengeluar biji koko utama.

Beliau berkata usaha tersebut turut membolehkan syarikat memperkukuhkan lagi kehadirannya di pasaran Eropah susulan kedudukan yang berhampiran dan zon masa yang sama.

“Kami akan memperolehi manfaat daripada daya saing kos yang lebih baik menerusi penjimatan dalam kos perkapalan, penyimpanan dan pengendalian selain cukai eksport.

“Faktor ini akan meneguhkan lagi daya saing dan kebolehupayaan kami, sekali gus membolehkan syarikat melonjakkan jualan kepada dunia, di samping meningkatkan reputasi sebagai antara pengeluar bahan koko terbesar dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kilang baharu ini dijangka beroperasi pada suku pertama 2021, yang akan menjadikan kapasiti pengisaran keseluruhan syarikat kepada 310,000 tan berbanding 250,000 tan pada masa ini.

Pelaburan ke atas kilang di Afrika Barat itu akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman, pinjaman bank dan hasil tawaran persendirian Guan Chong yang disempurnakan baru-baru ini.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu