Beberapa jalan di ibu negara dilanda banjir kilat [ 22m ago ]

Berita EKONOMI


Selangor berada di landasan catat pelaburan RM10 bilion tahun ini -- MB

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Selangor berada di landasan untuk merekodkan pelaburan berjumlah RM10 bilion dalam sektor pembuatan tahun ini, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata pada separuh pertama 2019, negeri itu telahpun memperoleh pelaburan berjumlah RM6 bilion meskipun keadaan pertumbuhan ekonomi global yang tidak stabil dan tidak menentu ekoran perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

"Kami yakin dapat mencapai sasaran ini dalam persekitaran ekonomi semasa global dan kita boleh meraih lebih banyak lagi sekiranya situasi bertambah baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor Ketiga 2019 (SIBS 2019) di sini, hari ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan acara itu.

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Amirudin berkata rekod prestasi Selangor menunjukkan perniagaan boleh meraih manfaat berikutan asas ekonomi negeri yang kukuh, prasarana yang baik serta tenaga kerja dinamik daripada graduan yang dilahirkan oleh banyak universiti di negeri itu.

Beliau berkata Selangor mencatatkan prestasi pelaburan pecah rekod pada 2018 apabila meraih hampir RM19 bilion dalam sektor pembuatan sahaja, lebih berganda daripada sasaran negeri dan melonjak hampir 285 peratus berbanding pelaburan pada 2017.

"Sepanjang tempoh 11 tahun lepas, pentadbiran ini telah mengharungi pelbagai cabaran bagi menjadikan Selangor destinasi bijak untuk melabur dan menjalankan perniagaan berbanding negeri-negeri lain,” katanya sambil menambah Selangor boleh dianggap sebagai pintu masuk ke ASEAN.

"Dengan wawasan kita untuk menjadi negeri pintar menjelang 2025, kami akan memastikan dasar ekonomi kami sejajar dengan pembangunan prasarana kami dalam pengangkutan dan pengurusan bandar,” katanya.

Amirudin berkata negeri itu memililki rangkaian pengangkutan terbaik di negara ini dengan jalan hubungan menerusi jalan kereta api, lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang.

“Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang, kita berada di kedudukan masing-masing lapangan terbang ke-12 paling sibuk di Asia dan pelabuhan ke-12 paling sibuk di dunia,” katanya sambil menambah Selangor memiliki lebih 200 taman perindustrian dan tenaga kerja kira-kira 3.4 juta orang dalam pelbagai industri.

"Universiti kami sentiasa bertambah baik dan kami telah memulakan kerjasama dengan industri untuk melengkapkan hampir 40,000 graduan dengan kemahiran paling penting untuk berjaya di dunia luar,” katanya.

Amirudin berkata kerajaan Selangor juga menganggap pengumuman Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 oleh kerajaan Persekutuan sebagai dokumen penting yang menggariskan nilai dan idea diperbaharui Malaysia ke arah mencapai sasaran menjadi negara maju menerusi penumpuan kepada rakyat dan pembangunan perindustrian.

Pada masa hadapan, beliau berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti bahagian teras dalam elektrik dan elektronik, sains hayat, pembuatan makanan dan minuman, pengangkutan serta mesin dan peralatan sebagai fokus utama kerana bahagian-bahagian ini menyediakan ruang paling banyak bagi kemajuan teknologi.

"Jadi, pada dasarnya Selangor terbuka bagi perniagaan dan menerusi Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC), kita akan memudahkan sebaik mungkin bagi anda untuk membuka kedai di sini,” katanya.

Mengenai SIBS 2019, beliau berkata acara itu disasar mencapai janji niaga bernilai RM250 juta, peningkatan daripada RM200 juta tahun lepas.

Acara empat hari itu yang bermula hari ini dengan tema ‘Pintu Masuk Anda Ke ASEAN’, adalah platform bagi peserta perniagaan utama, pelabur dan pembuat dasar daripada pelbagai industri untuk bertemu, menjalin kerjasama dan mewujudkan peluang.

Sidang kemuncak itu mempamerkan lebih daripada 800 reruai (booth) dan dijangka menarik 30,000 pengunjung.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu