KBS bakal salur dana khas kepada Hafizh Syahrin [ 3m ago ]

Berita EKONOMI


Lupus aset Khazanah turut dilakukan kerajaan terdahulu - Azmin

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Tindakan melupuskan aset Khazanah Nasional Bhd yang dilaksanakan di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan bukan suatu tindakan yang perlu dikritik kerana aktiviti normal dalam perniagaan itu turut dilakukan sewaktu pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata sewaktu pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Khazanah telah melupuskan sejumlah 84 aset dari 2009 sehingga April 2018.

“Pada tahun 2009, yang menjadi Perdana Menteri adalah Ahli Parlimen Pekan (Najib). Beliau melupuskan lapan aset, 2010 lupus tujuh aset, 2011 (lapan aset), 2012 (10 aset), 2013 (enam aset), 2014 (enam aset), 2015 (10 aset), 2016 (13 aset), 2017 (12 aset) dan bagi empat bulan pertama 2018, beliau lupus empat aset.

"Jumlah aset Khazanah yang dilupuskan oleh (ahli parlimen) Pekan adalah 84 aset, jadi di mana (ahli parlimen) Pekan ingin menyanggah keputusan kerajaan baharu (lupus aset) untuk memastikan pulangan yang kita peroleh lebih baik” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang ingin tahu kewajaran kerajaan menjual aset Khazanah yang mendatangkan pulangan baik ketika pasaran menurun.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif pelupusan sedemikian bukanlah suatu perkara luar biasa bagi mana-mana syarikat pelaburan strategik dalam negara mahupun antarabangsa.

Katanya selain menampung kos rosot nilai aset, hasil pelupusan aset itu digunakan untuk membayar hutang yang wujud susulan pelaburan tidak strategik Khazanah yang tidak beri nilai tambah dan pulangan baik kepada dana pelaburan tersebut.

"Kerugian ini sebenarnya telah tercatat dalam pentadbiran lalu tetapi tidak diambil kira rosot nilai dalam penyata kewangan, tidak berlaku ketelusan dalam pengurusan kewangan pada ketika itu.

“Sebab itu apabila kerajaan baharu ambil alih, kita mengambil kira rosot nilai yang diambil kira aset yang dibuat pentadbiran lama sebab itu kita dapat maklum kerugian dialami ialah RM6.3 bilion,” katanya.

Mohamed Azmin menjelaskan Khazanah turut menggunakan hasil lupus aset untuk melakukan pelbagai pelaburan baharu dan sama sekali tidak digunakan untuk membayar hutang kerajaan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu