Pengurusan ladang sawit wajib patuhi piawaian MSPO - MPOCC [ 11m ago ]

Berita EKONOMI


Felcra, Baladna akan wujudkan ladang tenusu terbesar Malaysia

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Nageeb Wahab
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Felcra Bhd dan pengeluar produk tenusu terbesar di Qatar, Baladna Food Industries W.L.L, berhasrat untuk mewujudkan ladang tenusu terbesar di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang, sejajar dengan Dasar Jaminan Makanan Negara.

Pengerusi Felcra Datuk Nageeb Wahab berkata di bawah kerjasama ini, kedua-dua syarikat menyasarkan untuk menghasilkan 50 juta liter susu menjelang 2021, dan menambah bahawa lima lokasi di wilayah utara dan tengah serta Sabah dan Sarawak telah dikenal pasti untuk cadangan itu.

“Kami berharap boleh memenuhi permintaan domestik yang ketika ini bergantung sepenuhnya kepada import,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat itu di sini hari ini.

Di bawah MoU itu, Felcra akan menyediakan kemudahan tanah manakala Baladna akan menyediakan teknologi dan juga ternakan.

“Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada Felcra untuk jangka masa panjang dan kami percaya ia akan memberi kesan positif ke atas pendapatan di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Eksekutif Baladna Ramez Al Khayyat berkata kerjasama itu adalah peluang terbesar untuk syarikatnya kerana sektor pertanian Malaysia sedang berkembang.

"Dengan kerjasama antara Baladna dan Felcra, kami percaya kami boleh mendominasi pasaran tempatan menerusi model perniagaan yang lestari dan sokongan kerajaan,” tambahnya.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu