Rosmah gagal tangguh prosiding dalam saman firma barang kemas Lubnan [ 11m ago ]

Berita EKONOMI


MARIC mahu diberi peluang terlibat dalam perancangan pembangunan pengangkutan awam

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC) berpendapat pertubuhan itu patut diberi peluang bukan sahaja sebagai industri pelaksana malah turut terlibat bersama-sama dalam perancangan mana-mana pembangunan pengangkutan awam.

Dalam kenyataan hari ini, MARIC berkata dengan demikian, keupayaan tempatan dapat dipertahankan dan keberhasilan tempatan dapat diperkasakan melalui penggunaan reka bentuk, pemasangan, komponen dan perkhidmatan tempatan.

"Insentif patut diberikan kepada penggubalan piawaian rel Malaysia. Industri tempatan boleh menyediakan diri dan menyesuaikan produk mengikut kehendak dan tuntutan piawaian rel kebangsaan yang perlu dikaji dan diberikan nafas baharu.

Ïni sekaligus akan mengelakkan pembaziran terutamanya jika sesebuah komponen itu telah matang di industri lain misalnya dari sektor automotif serta didapati layak diguna pakai di sektor rel," katanya berhubung harapan pertubuhan itu dalam Belanjawan 2020.

Menurutnya, piawaian rel kebangsaan patut menjadi panduan kepada kerajaan, agensi pelaksana, pengusaha rel serta industri untuk memperkayakan keberhasilan tempatan dan mengutamakan produk buatan Malaysia.

MARIC turut menggesa lebih banyak peluang dan insentif diberikan kepada pemain rel tempatan di dalam menjayakan projek-projek pengangkutan awam berskala mega.

Katanya projek pengangkutan awam seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta projek rel perbandaran utama seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Kuching dan projek Perkhidmatan Transit Rel (RTS) Johor Bahru-Singapura di dalam Belanjawan 2020 bertujuan meningkatkan kemakmuran ekonomi negara, sekali gus merapatkan jurang perhubungan dan komunikasi nasional.

Setiausaha Kehormat MARIC Haniff Ghazali berkata kerajaan perlu melihat dan mengutamakan industri tempatan yang terdiri daripada syarikat kejuruteraan, pembinaan, pemperolehan dan pentauliahan (EPCC) utama serta syarikat pengeluar dan pemasang teknologi dan inovasi untuk komponen el yang aktif terlibat di dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk stok kereta berasaskan teknologi antarabangsa bagi merancakkan lagi iklim perniagaan di dalam sektor rel.

"Secara tidak langsung, kepakaran yang diperoleh melalui pemindahan teknologi dapat diguna pakai untuk menerokai pasaran MRO di pentas Asia Tenggara yang sedang rancak melaksanakan program transformasi rel masing-masing," katanya.

Menurut beliau, dianggarkan terdapat lebih daripada 50 peratus komponen tempatan layak dipasang dan digunakan di dalam segmen kejuruteraan sistem bagi projek ECRL dengan anggaran keseluruhan kos sebanyak RM5 bilion, dengan fokus utama melibatkan pakej komunikasi, elektrifikasi, kerja-kerja trek, sistem kutipan tiket dan pemasangan stok kereta.

MARIC juga berharap kerajaan melaksanakan program prakelayakan untuk kesemua pemain kejuruteraan sistem di Malaysia bagi tujuan menyokong pembinaan projek ECRL yang sedang dilaksanakan oleh kontraktor utamanya iaitu MRL-CCCC.

Katanya pertubuhan itu bersedia untuk terlibat secara aktif di dalam konsep kerjasama awam-swasta (PPP) bagi mana-mana pembinaan, rehabilitasi dan baik pulih mana-mana jalinan dan perhubungan rel.

Katanya, PPP adalah model terbaik bagi kolaborasi bersama-sama kerajaan di dalam merungkai cabaran perbatuan terakhir rehabilitasi.

"Kerajaan juga wajar memberi insentif untuk projek PPP bagi pengangkutan awam yang boleh menzahirkan mobiliti perbandaran dan antara bandar yang cekap dan selamat,'’ tambahnya.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu