Beberapa jalan di ibu negara dilanda banjir kilat [ 22m ago ]

Berita EKONOMI


Muar Furniture Park berjaya tarik peserta industri

Tarikh kemaskini: 10/10/2019

MUAR, 10 Okt -- Muar Furniture Park (MFP) yang dibangunkan oleh Johor Corporation (JCorp) sejak April 2018, tidak lagi berdepan dengan kesukaran untuk menarik peserta industri.

Ini kerana pihak kerajaan sudah memberikan kerjasama untuk menyelesaikan isu terkait, kata Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.


“Ia sudah selesai. Kerajaan sudah memberikan kerjasama (membantu menyelesaikan),” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Penyiapan Platform Tanah Industri Pertama Muar Furniture Park di Bakri hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Industri Kayu Malaysia, Norchahaya Hashim sebelum ini yang menyatakan MFP menghadapi kesukaran untuk menarik peserta industri kerana mereka tidak mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.

Ini kerana kebanyakan institusi kewangan menganggap industri dan produk kayu adalah industri yang sudah tidak lagi berpotensi, menyebabkan prosedur pinjaman oleh perniagaan pembuatan perabot dikenakan pensyaratan yang lebih ketat.

Keadaan ini menyebabkan kadar ambilan MFP menjadi rendah selepas peserta industri mendapati pembiayaan untuk perjanjian jual beli masih terhalang, justeru tidak dapat memuktamadkan pembelian tanah.

Terdahulu, Kamaruzzaman ketika berucap menjelaskan MFP yang berkeluasan 986 ekar adalah hab perabot yang terancang, tersusun dan bersepadu yang pertama di Malaysia serta dijangka beroperasi pada 2024.

Sebanyak 530 ekar tanah daripada keseluruhan kawasan diperuntukkan untuk lot industri, 113 ekar bagi lot perdagangan, 21.5 ekar untuk pusat kargo dan logistik bersepadu serta 18.3 ekar lagi sebagai tapak asrama pekerja.

“Sehingga kini, 74 peratus kerja-kerja tanah, perparitan dan jalan telah diselesaikan. Berdasarkan kepada perkembangan semasa, kerja-kerja pembangunan MFP dijangka selesai menjelang Jun 2020.

“Tetapi untuk memastikan pembangunan MFP mencapai matlamat yang dirancang, JCorp telah bekerjasama dengan Persatuan Perabot Muar (MFA) sejak 2017. Dengan lebih 500 anggota berdaftar, MFA adalah antara tunjang utama kejayaan industri perabot Muar.

“Hasil kerjasama ini, sehingga kini ada 126 syarikat perabot tempatan dari daerah Muar yang merupakan ahli MFA telah menandatangani Surat Perjanjian Jual Beli melibatkan tanah industri seluas 371 ekar iaitu 70 peratus daripada jumlah keseluruhan 529 ekar tanah industri yang dibangunkan di MFP,” katanya.

Beliau berkata dengan perkembangan terbabit, ini bermakna MFP masih mempunyai 105 lagi ekar lot industri yang boleh dibeli pelabur.

“Memandangkan perkembangan pesat dalam pembangunan taman perindustrian ini, pelabur yang berminat disaran mengambil kesempatan ini dengan segera melabur di MFP,” kata Kamaruzzaman.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal yang hadir menyempurnakan majlis berkenaan berharap agar MFP dapat melonjakkan pembangunan industri perabot negara pada masa depan, selain turut menjadi contoh kepada pembuatan perabot di negeri-negeri lain.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu