Kelantan tambah pokok rhu majukan 'Pulau Nami Kelantan' [ 5m ago ]

Berita EKONOMI


Sony Interactive Entertainment akan wujudkan studio Asia Tenggara pertama di Malaysia

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tengah)

KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia bekerjasama dengan Sony Interactive Entertainment Worldwide Studios (SIE WWS) untuk mewujudkan studio Asia Tenggara pertama di Malaysia tahun depan bagi syarikat utama industri permainan video global itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata kerjasama itu merupakan pengiktirafan besar terhadap Malaysia sebagai nadi industri permainan video di rantau ini.


“Dengan penubuhan studio itu, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan SIE WWS untuk mencipta lebih banyak peluang untuk industri permainan video tempatan dan rantau ini.

“Kita bersama akan berusaha memajukan kumpulan bakat di Malaysia selain mengadakan perkongsian dengan rakan kongsi pendidikan tempatan,” katanya semasa berucap di Level Up KL 2019 di sini, hari ini.

Level Up KL 2019 merupakan acara industri utama Asia Tenggara bagi pembangun permainan video anjuran Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC).

Gobind berkata kerjasama dengan SIE WWS bertujuan memastikan pertumbuhan pesat industri permainan video di negara ini dapat disokong.

Sony Interactive Entertainment Worldwide Studios Malaysia Sdn Bhd (SIE WWS Malaysia) akan menyediakan perkhidmatan hasil seni dan animasi sebagai sebahagian aktiviti SIE WWS bagi membangunkan judul eksklusif global bagi platform PlayStation.

Gobind juga berkata Dasar Ekosistem Kreatif Digital (DICE) baharu yang akan menumpukan pengukuhan industri kandungan digital akan dilaksanakan tahun depan.

“Dasar baharu ini akan memberi tumpuan kepada pengukuhan industri kandungan digital menerusi usaha yang ditetapkan untuk menarik lebih banyak pelaburan -- tempatan dan asing -- dalam membangunkan dan meningkatkan syarikat dan bakat tempatan,” katanya.

DICE juga bertujuan memantapkan ekosistem kandungan digital dan membolehkan lagi kemajuan penyelidikan pasaran serta pembangunan kandungan baharu serta pada masa sama meningkatkan potensi eksport produksi berkenaan.

Dari segi eksport, Gobind berkata menurut Laporan Industri Tahunan dan Sukuan MSC Malaysia, eksport permainan video meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 118 peratus kepada RM681 juta bagi tempoh 2014 hingga 2018.

Landskap domestik juga mempunyai 53 studio dengan kebanyakannya membangunkan permainan video tempatan dan mencipta harta intelek selain membimbing bakat untuk projek tempatan dan antarabangsa, katanya.

“Tidak dinafikan lagi industri ini kini menjadi pemacu penting bagi ekonomi digital kita.

“Selain itu, menjadi penekanan utama seterusnya adalah ramai anak muda kita amat berminat, dari segi pilihan kerjaya,” katanya.

Acara tahunan Level Up KL merupakan sebahagian mandat MDEC untuk menerajui ekonomi digital Malaysia menerusi pertumbuhan industri permainan video negara.

Matlamatnya adalah mewujudkan platform untuk pemain permainan video, pembangun permainan video, korporat dan e-sukan, bagi membolehkan semua pihak memanfaatkan pasaran hiburan terbesar itu sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi utama Malaysia.

Level Up KL 2019 berlangsung dari 2 hingga 10 Nov ini dengan menampilkan pelbagai aktiviti dari dan untuk industri permainan video Asia Tenggara serta orang ramai.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu