Gojek : Women's safety will be given top priority - Syed Saddiq [ 17m ago ]

Berita EKONOMI


Bursa Malaysia kekalkan momentum meningkat pada tengah hari

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
Oleh Aishah Mohamad Afandi

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum meningkatnya pada tengah hari ini, didorong oleh pemulihan yang kukuh dalam hampir semua indeks.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka tinggi 5.48 mata kepada 1,598.36 dengan sektor teknologi naik 2.23 peratus diikuti modal bersaiz kecil dan sederhana, masing-masing sebanyak 1.17 peratus dan 1.34 peratus.

Menurut penganalisis, peningkatan itu disebabkan aktiviti belian semasa harga rendah selepas indeks susut 22.17 mata semalam berikutan ketidaktentuan global dan ekonomi yang lembap, dengan bank pusat utama mengetengahkan idea kepada kemungkinan pengurangan lagi kadar.

“Keputusan oleh Presiden AS Donald Trump untuk menangguhkan tarif tambahan ke atas barangan China yang dijadualkan pada 1 Sept, memberi dorongan kepada pasaran buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 420 berbanding 224, manakala 338 kaunter tidak berubah, 924 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.29 bilion saham bernilai RM640.0 juta.

Kaunter saham wajaran tinggi paling untung ialah Public Bank dan CIMB, masing-masing naik enam sen kepada RM20.80 dan RM5.06 manakala Maybank, Tenaga Nasional, dan IHH, masing-masing menambah dua sen kepada RM8.58, RM13.62 dan RM5.68.

Daripada saham aktif, Sumatec naik satu sen kepada 40 sen, KNM menokok satu sen kepada 20 sen dan warannya meningkat setengah sen kepada 20 sen, manakala Datasonic menambah 10 sen kepada 93.5 sen, dengan warannya naik 5.5 sen kepada 43.5 sen, manakala Berjaya Land menokok dua sen kepada 20.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 58.48 mata kepada 11,348.89, Indeks FBMT 100 menambah 54.43 mata kepada 11,182.71 dan FBM Ace menokok 38.97 mata kepada 4,652.65.

FBM 70 meningkat 70.88 mata kepada 14,233.71 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 67.18 mata kepada 11,863.41.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 34.07 mata kepada 6,725.73 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.67 mata kepada 151.35.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu