Dua anggota polis cedera kereta peronda terbakar [ 6m ago ]

Berita EKONOMI


Bursa Malaysia ditutup tinggi dipacu aktiviti belian semasa harga rendah

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup 0.46 peratus lebih tinggi hari ini, meningkat semula selepas mencatatkan penurunan ketara semalam, disokong oleh aktiviti belian semasa harga rendah yang kukuh dalam indeks teknologi, modal saiz sederhana dan saham wajaran tinggi terpilih.

Semasa urus niaga ditutup hari ini, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.43 mata kepada 1,600.31 berbanding 1,592.88 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka 5.48 mata lebih tinggi pada 1,598.36, dan diniagakan antara 1,596.82 dan 1,603.04.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu sebanyak 450 berbanding 319, manakala 402 kaunter kekal tidak berubah, 735 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.40 bilion unit bernilai RM1.65 bilion berbanding 2.19 bilion unit bernilai RM1.69 bilion semalam.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata FBM KLCI dijangka meningkat dalam jangka terdekat, ditengah-tengah keadaan tidak menentu di dunia, dan pada masa yang sama disokong oleh asas pasaran yang semakin baik.

“Untuk prospek masa depan, ketegangan geopolitik dan perang perdagangan yang berpanjangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China kekal menjadi pemacu kritikal, memacu sentimen pasaran tempatan.

‘Berikutan prestasi memberangsangkan dalam pasaran AS, kami jangka FBM KLCI akan mendapat kelegaan pada paras 1,600 dalam teras penangguhan tarif, selepas pentadbiran Presiden Trump mengumumkan penangguhan pelaksanaan tarif yang dijadual dikuatkuasakan pada September terhadap pelbagai produk China, sehingga Disember," katanya kepada Bernama.

Mengenai aspek teknikal, beliau berkata FBM KLCI mengundur daripada trajektori menaik yang dilihat pada dagangan minggu lepas dan kembali ke had paras sokongan 1,600 mata.

Disebalik sentimen lemah pada minggu lepas, Nazri berkata berdasarkan momentum segera, analisis teknikal mencadangkan indeks mampu meningkat lebih tinggi lagi.

“Untuk masa depan, kami mengekalkan pandangan kami bahawa FBM KLCI masih dalam proses untuk pulih. Kami melihat corak balikan "Penjualan Kepentingan Memberangsangkan” ketika ini akan berterusan, yang mencadangkan trend sedang beralih daripada aliran menurun kepada menaik.

“Berhubung pandangan mengenai aliran menaik, paras rintangan segera kekal pada 1,658 mata, diikuti tahap rintangan kukuh pada 1,700 mata,' katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata disebalik tarif tambahan dikenakan oleh AS terhadap barangan China ditangguhkan ke Disember, keadaan kekal goyah kerana tiada apa yang kukuh untuk menyokong pasaran.

"Pelabur kekal mengambil pendekatan berhati-hati terhadap ekuiti berikutan pasaran terus turun naik," katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Public Bank naik enam sen kepada RM20.80, Maybank dan Digi masaing-masing meningkat tiga sen kepada RM8.59 dan RM5.00 manakala Tenaga Nasional dan Hong Leong Bank masaing-masing menokok dua sen kepada RM13.62 dan RM17.42.

Bagi saham aktif, Datasonic naik 6.5 sen kepada 90 sen, manakala warannya meningkat empat sen kepada 42 sen, Sumatec menokok setengah sen kepada 3.5 sen, Berjaya Land naik dua sen kepada 20.5 sen dan Ekovest menokok satu sen kepada 82 sen.

Indeks FBM Emas melonjak 45.58 mata kepada 11,445.98, Indeks FBMT 100 meningkat 42.68 mata kepada 11,170.97, manakala Indeks FBM Emas Shariah naik 45.59 mata kepada 11,841.82.

FBM 70 naik 16.38 mata kepada 14,179.21 dan FBM Ace meningkat 28.18 mata kepada 4,641.86.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 70.43 mata kepada 15,680.30, Indeks Perladangan meningkat 30.34 mata kepada 6,722.00 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.47 mata kepada 151.15.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.62 bilion saham bernilai RM1.46 bilion berbanding 1.42 bilion saham bernilai RM1.54 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 428.79 juta unit bernilai RM119.14 juta berbanding 442.68 juta unit bernilai RM105.42 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 347.13 juta bernilai RM65.10 juta berbanding dengan 329.81 juta saham bernilai RM41.30 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 243.19 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (261.78 juta), pembinaan (90.37 juta), teknologi (234.19 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (34.44 juta), hartanah (93.03 juta), perladangan (8.99 juta), REIT (15.57 juta), dana tertutup (6,000), tenaga (359.52 juta), penjagaan kesihatan (149.48 juta), telekomunikasi dan media (230.31 juta), pengangkutan dan logistik (28.11 juta) dan utiliti (15.37 juta).

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu