142 nabbed in anti-drug operations [ 5m ago ]

Berita EKONOMI


Ringgit meningkat semula berbanding Dolar US

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Ringgit meningkat semula untuk ditutup tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan minat untuk mengambil risiko terhadap aset berisiko bertambah baik selepas Amerika Syarikat (AS) membuat konsesi perdagangan dengan China.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1870/1900 berbanding dolar US daripada 4.1960/1990 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata permintaan terhadap ringgit menjadi lebih baik berikutan pelabur gembira dengan penangguhan tarif AS ke atas import dari China.

Tarif sebanyak 10 peratus, yang dijadualkan bermula bulan depan ke atas produk tertentu termasuk komputer riba dan telefon bimbit, ditangguhkan kepada 15 Dis.

“Keputusan itu memberi kelegaan, mungkin memberi harapan bahawa penyelesaian yang baik dapat dicapai pada masa depan.

“Bagaimanapun, pasaran pertukaran asing dijangka kekal defensif, membawa kepada permintaan lebih tinggi terhadap mata wang selamat seperti dolar US,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, ringgit diniagakan kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0192/0224 daripada 3.0213/0252 dicatatkan pada Selasa, dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9359/9398 daripada 3.9905/9945.

Mata wang tempatan menokok berbanding pound British kepada 5.0575/0628 daripada 5.0633/0703 dan naik berbanding euro kepada 4.6802/6840 daripada 4.7016/0654 sebelum ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu