Kim raih gelaran sulung ADT pada Kejohanan PGM MNRB [ 49m ago ]

Berita EKONOMI


Bursa Malaysia ditutup melepasi paras 1,600

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
Oleh NURUL JANNAH KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup melepasi paras 1,600 pada Rabu, didorong oleh kaunter minyak dan gas -- Petronas Chemical, Petronas Dagangan dan Axiata.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.45 mata untuk ditutup pada paras tertinggi harian pada 1,602.30.

Barometer pasaran dibuka tinggi 2.03 mata kepada 1,597.88.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Nazri Khan Adam Khan berkata walaupun ketidaktentuan menyelubungi kegagalan gabungan mega Axiata-Telenor, FBM KLCI berjaya dibuka tinggi.

Beliau berkata kaunter berkaitan minyak dan gas mencatatkan prestasi kukuh sejajar dengan pengukuhan harga minyak global.

Bagaimanapun, katanya pelabur asing beralih daripada pasaran kewangan Malaysia berikutan data rizab antarabangsa kasar yang tidak menggalakkan, yang susut 0.4 peratus kepada US$103.5 bilion sehingga 30 Ogos, 2019.

“Secara keseluruhan, kami menjangka FBM KLCI berada pada sekitar 1,600 dengan sentimen menyelubungi penggabungan syarikat telekomunikasi baru-baru ini serta penyedia perkhidmatan minyak dan gas akan mencatat prestasi yang baik berikutan harga minyak global berharap Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan mengurangkan pengeluaran.

“Memandangkan prospek OPEC dan pengeluar minyak utama mengukuhkan pakatan mereka untuk mengurangkan turun naik harga minyak dengan permintaan tenaga yang berkurangan, pelabur yang agresif mungkin mempertimbangkan untuk memanfaatkannya,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga sedang mengenal pasti ruang fiskal untuk mengutamakan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan tidak memperkenalkan langkah-langkah cukai baharu dalam Belanjawan 2020 yang akan datang.

Menurut MOF, langkah-langkah pengembangan tersebut akan membantu meningkatkan keyakinan sektor korporat dan komuniti pelaburan.

Oleh itu, Nazri berkata Bank Negara Malaysia dijangka memulakan satu lagi penurunan kadar dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ditetapkan pada 2.75 peratus dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kitaran pelonggaran yang berterusan daripada bank-bank pusat utama di seluruh dunia.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata terdapat juga perkembangan positif dari China berhubung pemansuhan had kuota pelaburan ke atas ekuiti -- Pelabur Institusi Asing Berkelayakan (QFII) dan Pelabur Institusi Asing Berkelayakan Renminbi (RQFII).

“Selain itu, kerajaan China telah mengumumkan pengecualian produk tertentu yang diimport dari Amerika Syarikat.

“Perkembangan tersebut akan memberi laluan kepada perbincangan dua hala yang dijadualkan bulan depan, yang dapat mengurangkan pertikaian.

“Ini boleh membawa kepada sentimen yang lebih baik dalam Bursa Malaysia. FBM KLCI masih pada kedudukan terlebih jual dan mungkin terdapat pemulihan teknikal dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemical meningkat 23 sen kepada RM7.23, Axiata naik sembilan sen kepada RM4.20 dan Petronas Dagangan melonjak RM1.68 kepada RM23.88.

Hong Leong Financial Group menambah 34 sen kepada RM16.64 dan Digi menokok satu sen kepada RM4.61.

Daripada saham aktif, Metronic merosot 1.5 sen kepada 5.5 sen, Green Packet naik setengah sen kepada 24.5 sen dan Bumi Armada tidak berubah pada 28.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 50.07 mata kepada 11,291.86, Indeks FBMT100 meningkat 47.21 mata kepada 11,127.81 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 70.72 mata kepada 11,817.15.

FBM Ace naik 26.24 mata kepada 4,505.73 dan FBM 70 meningkat 68.79 mata kepada 13,889.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 44.40 mata kepada 15,561.10, Indeks Perladangan meningkat 18.53 mata kepada 6,845.74 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.95 mata kepada 150.99.

Suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 424 berbanding 359, dengan 438 kaunter tidak berubah, 739 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 2.33 bilion unit bernilai RM1.78 bilion daripada 2.19 bilion unit bernilai RM1.92 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 1.51 bilion saham bernilai RM1.62 bilion daripada 1.51 bilion saham bernilai RM1.79 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran naik kepada 492.50 juta unit bernilai RM98.99 juta daripada 389.84 juta unit bernilai RM78.67 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 318.31 juta saham bernilai RM61.33 juta daripada 285.81 juta saham bernilai RM53.62 juta sebelum ini.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 217.38 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (315.46 juta), pembinaan (82.26 juta), teknologi (82.60 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (35.61 juta), hartanah (110.20 juta), perladangan (12.65 juta), REIT (12.98 juta), dana tertutup (100), tenaga (330.09 juta), penjagaan kesihatan (37.55 juta), telekomunikasi dan media (216.88 juta), pengangkutan dan logistik (39.40 juta) dan utiliti (21.65 juta).

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu