KBS bakal salur dana khas kepada Hafizh Syahrin [ 18m ago ]

Berita EKONOMI


Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Bursa Malaysia susut pada tengah hari ini selepas mencatat kenaikan dalam dagangan awal walaupun prestasi luaran serantau yang lebih baik, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.08 mata kepada 1,550.15 daripada 1,551.23 pada penutupan Rabu.

Indeks penanda aras dibuka 0.53 mata lebih rendah kepada 1,550.7 dan bergerak antara 1,549.2 dan 1,553.18 sepanjang sesi dagangan pagi.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 357 kepada 262 manakala 913 kaunter tidak berubah, 478 kaunter tidak didagangkan dan 30 lagi digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.24 juta saham bernilai RM606.28 juta.

Negara serantau menyaksikan prestasi yang lebih baik dengan Nikkei Jepun menambah 0.18 peratus kepada 21,494.43, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.18 peratus kepada 25,729,16 manakala Indeks Komposit Jakarta Indonesia naik 0.09 peratus kepada 6,034.6.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, persekitaran pasaran yang suram juga menyebabkan penggiat pasaran memilih untuk berada di luar pasaran yang menyaksikan penyertaan yang semakin susut.

Berikutan persekitaran itu, kami menjangkakan aktiviti jualan ketara akan berlaku dalam masa terdekat kerana sentimen yang kekal tidak menggalakkan.

Firma penyelidikan itu menjangka indeks utama akan berubah sekali lagi dan mampu mencecah pada paras 1,550 yang dijangka mencapai paras sokongan seterusnya pada 1,548.

“Seterusnya, paras sokongan dikesan pada 1,532 dan 1,520 - yang kedua, dilihat kali terakhir pada awal 2012,” katanya.

Sementara itu, paras rintangan masing-masing pada 1,555 dan 1,560.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank menokok satu sen kepada RM8.39, manakala Tenaga, PBBank dan Hong Leong Bank menambah dua sen masing-masing kepada RM13.62, RM19.14 dan RM16.12.

Sementara itu, PChem dan IHH masing-masing merosot empat sen kepada RM7.16 dan RM5.63.

Antara saham aktif, Netx Holdings, Sapura Energy, Sanichi Technology dan AT Systematization masing-masing tidak berubah pada 1.5 sen, 26 sen, lima sen dan 6.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 2.29 mata kepada 11,008.66, Indeks FBMT 100 jatuh 2.43 mata kepada 10,829.8, namun, Indeks FBM Emas Shariah naik 1.97 mata kepada 11,621.17.

Indeks FBM 70 menokok 18.02 mata kepada 13,782.72 dan Indeks FBM Ace naik 6.72 mata kepada 4,595.7.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan bertambah 5.08 mata kepada 14,938.73, Indeks Perladangan meningkat 5.57 mata kepada 6,544.73 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri rendah 0.47 mata kepada 149.5.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu